Apabila isu buang bayi berleluasa, ada yang cadangkan buat kempen. Katakan Ya kepada Kanak-kanak .Sekali pandang nampak elok. Dua kali pandang ia seperti kempen menggalakkan zina lebih berleluasa kerana ada pihak lain bersedia menerima bayi baru lahir itu. Si jantan dan betina hanya tahu memuaskan hawa-nafsu sahaja. Yang membesarkan anak ialah orang lain. Namun ia masih boleh dibahaskan.
Saya mengesyorkan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat-Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang mengadakan kempenAnda Bijak Jauhi Zina.
Mengapa tidak seluruh Malaysia? Negeri di bawah BN tak perlulah kerana mereka tidak berminat dengan isu sosial dan amar makruf nahi mungkar. Kalau sensitif, dah lama mereka buat.
Statistik terbaru 17,303 anak tak sah taraf didaftar tahun 2009, meningkat 762 kes dari tahun sebelumnya. 1Malaysia hanyalah kesinambungan sebuah dongeng penglipurlara yang menolak isu di atas sebagai agenda penting negara. Dalam satu kajian dijalankan JIM pada 2009 membabitkan 727 responden daripada universiti tempatan dan swasta menunjukkan 50 peratus remaja pernah berzina.
Apabila saya menulis artikel tentang kes buang bayi dan lain-lain yang berkaitan tersiar, ia bukan hanya mahu menulis tetapi sebuah manifestasi hati yang tak puashati dengan kedudukan masyarakat sekarang. Nabi SAW mengajarkan demikian. Malangnya semua artikel itu dan artikel yang ditulis oleh mereka yang sensitif hanya tinggal artikel. Nak harap Najib? atau Muhyiddin? atau Pak Lah dulu? atau Dr M lama dahulu? Mereka memang tak sensitif dengan isu ini. Yang penting harta dah bertimbun untuk diri dan anak keluarga.
Generasi sekarang yang mula menjadi remaja dan yang mula berkeluarga adalah hasil dan produk dari sebuah pemerintahan BN selama lebih 50 tahun. Modul pemerintahan BN silap. Langsung tak kena dengan modul anjuran Nabi SAW. Jahiliah begitu pekat di zaman sebelum bangkitnya Nabi. Namun dalam tempoh 23 tahun dakwah Baginda, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, Nabi boleh mengubah masyarakat menjadi yang terbaik dengan modul yang betul. Modul pemerintahan BN telah menjahanamkan generasi demi generasi.
Banyak pendekatan yang boleh dibuat dalam kempen di atas:
1. Buat papantanda besar, contohnya anak muda dan gadis bukan mahram berbonceng motosikal. Tulis ‘Anda Bijak Jauhi Zina’. Tambah apa yang patut. Letakkan papantanda ini di simpang lampu isyarat utama.
2. Bincang dengan pengurusan kilang dan industri bagi mengadakan kuliah agama kepada staf terutama operator kilang dan lain-lain oleh para ustaz. Paling kurang sekali seminggu. Negeri-negeri boleh menggunakan peruntukan undang-undang yang ada dan sesuai bagi memanfaatkan perkara ini.
3. Bekerjasama dengan NGO lain menjayakan program di atas. Pihak RaudhatusSakinah dan lain-lain mungkin berminat. Ketika menjadi pensyarah di IPT dahulu, saya pernah berbincang dengan salah seorang aktivis mereka tentang aktiviti sesuai untuk pelajar-pelajar saya terutama siswi perempuan.
4. Dewan Muslimat, Pemuda atau Nisa, juga Ulama boleh membantu pihak kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat mengadakan program sesuai. Generasi muda terutama yang jauh dari agama dan didikan perlu diberi keutamaan.
5. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mesti sentiasa menekan kerajaan Pusat di dalam Dewan, bukan sahaja berkait isu politik, ekonomi, juga seperti isu ini. Saya pernah nyatakan sebelum ini dalam artikel lain bahawa almarhum Ustaz Fadhil Nor ketika menjadi ketua pembangkang pernah menyuarakan kebimbangannya tentang isu anak luar nikah ini. Ia adalah isu generasi Malaysia akan datang yang bakal mewarisi negara Malaysia ini.
Sekali lagi saya mengharapkan perkara ini diambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat untuk diambil tindakan sepantas mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan