"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Shafie bahaya, tidak bertamadun

Salman Hussin
JOHOR BAHRU, 6 Julai:
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman menganggap ucapan Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Apdal berhubung PAS sesat sebagai kenyataan yang sangat merbahaya, biadab serta tidak bertamadun.

Katanya, kenyataan Shafie itu jelas menunjukkan kedangkalannya selain tidak dapat menerima kenyataan bahawa PAS bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah beberapa negeri pada Pilihan raya Umum ke-12 lalu.

“Beliau mungkin tidak menyedari bahawa PAS yang ditubuhkan secara sah pada 1951 telah disertai hampir 1 juta ahli berdaftar sehingga hari ini dan jumlah ini tidak termasuk para penyokong PAS yang berada di luar parti terutama di kalangan bukan Islam,” ujarnya.

Tambahnya, dakwaan beliau bahawa PAS parti ajaran sesat jelas telah menyimpang dari realiti sebenar yang berlaku sebaliknya dakwaan itu hanya memperjelaskan lagi kegusaran serta ketakutan beliau selaku pemimpin tertinggi Umno apabila rakyat mula menolak Umno BN mutakhir ini.

Justeru, ujarnya bagi mengembalikan sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada Umno BN, maka Shafie terpaksa mengeluarkan kenyataan yang sangat dangkal dan berniat jahat itu, meski pun bakal mengundang padah dan petaka kepadanya dan Umno.

“Jika Shafie mendakwa PAS parti ajaran sesat, apakah beliau berani menyatakan bahawa kesemua ahli PAS juga sesat,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral, dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Mazlan meminta polis menjalankan siasatan berhubung kenyataan Shafie itu kerana ia sangat merbahaya selain boleh menimbulkan pandangan negatif orang ramai terhadap PAS dan juga ahli-ahli PAS.

“Kenyataan beliau ini juga dibimbangi akan menyesatkan serta memesongkan akidah umat Islam yang mungkin terdorong dengan prasangka yang tidak bersandarkan kepada maklumat yang sebenar.

“Kita juga mendesak Shafie memohon maaf secara terbuka serta menarik balik tuduhan yang sangat jahat ini, sekiranya beliau enggan berbuat demikian dalam masa terdekat ini maka kita akan terus membuat laporan polis ke atas beliau di seluruh negara,” tegas Mazlan lagi.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut ketika merasmikan Majlis Perwakilan Umno Bahagian Kulaijaya di Dewan Raya Kampung Pertanian Kulaijaya, Sabtu lalu.

Tiada ulasan: