"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masih terdapatkah lagi sinar terang politik kaum India ?

Safar Jumaat

Entah ilham apa yang datang, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' T. Murugiah bercadang mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ekoran kenyataan PM yang menasihatkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak bertelagah secara terbuka.

Murugiah yang sudah berjaya menjadikan PPP semakin mengecil, kerana beberapa ribu penyokongnya bertindak meninggalkan parti itu, sebaik sahaja dia dipecat – kini menganggap dia juga adalah salah seorang pemimpin BN yang Najib maksudkan.

Ilham seperti ini akan menjadikan BN semakin mengecil, kerana Murugiah tidak berusaha untuk memperkuatkan PPP yang pernah menaikkannya dalam politik sebaliknya, secara diam-diam dia mengakui bahawa dia dan penyokongnya masih berkuku dalam politik kaum India.

PPP sebuah parti tua, dari segi sejarahnya tetapi parti ini sudah semakin mengecil sekarang kerana krisis demi krisis yang dilalui. Baru-baru ini, apabila Presidennya, Dato' M. Kayveas mengumumkan hasrat mahu berundur empat lima tahun akan datang, ada yang menerimanya dengan penuh sinis.

Apa tidaknya, dalam perhimpunan parti itu baru-baru ini, Kayveas masih membawa cerita musang dan singa yang katanya cerita sindiran untuk memberi gambaran kepada Perdana Menteri bahawa ada musang dalam pasukan Najib. Tentulah orang-orang politik, khususnya penyokong PPP faham siapa yang Kayveas maksudkan sebagai musang dan siapa singa.

Mereka yang terasa dengan sindiran Kayveas, mustahil akan kembali menjadi penyokong PPP selagi Kayveas di situ, lebih-lebih lagi Kayveas lah adalah antara Presiden sebuah parti komponen BN, yang tidak berjawatan dalam kerajaan, termasuk Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek (MCA) dan Dato' Seri S. Samy Vellu (MIC).

Di Wilayah Persekutuan, PPP khabarnya sibuk juga menarik orang-orang Melayu untuk menyertai parti itu, bagi mengambarkan PPP bukan sebuah parti kaum India, sebaliknya pelbagai bangsa. Sesiapa juga orang Melayu yang dilihat bermasalah dengan Umno dan tidak mendapat tempat dalam Umno, Kayveas dilihat sedia memberikan tempat kepada mereka, termasuklah di Kelantan.

Bagi Murugiah dan beberapa bekas ketua-ketua bahagian PPP yang dipecat, mereka tidak mempunyai cukup keberanian untuk menubuhkan sebuah parti baru untuk menjadi parti serpihan PPP kerana mereka tahu, kaum India sudah mempunyai banyak parti termasuk MIC dan MIUP pimpinan Dato' Nallakarupan.

Hari ini, Murugiah sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Kayveas. Pergaduhan mereka seperti ada persamaan pertelingkahan antara Samy Vellu dengan Datuk S. Subramaniam. Masing-masing mempunyai penyokong dan dalam masa yang sama, masing-masing mempertahankan ego.

Murugiah dan penyokongnya sudah tentu sedang memikirkan masa depan politik mereka. Untuk kembali bersama-sama PPP, memang mustahil walaupun politik tidak pernah menafikan kemungkinan mereka akan berdamai. Apakah Murugiah akan memohon masuk MIC?

Juga dilihat sebagai sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Lagi pun Murugiah mungkin melihat masa depan politiknya akan gelap jika menyertai MIC yang lebih teruk politikingnya sejak kewujudan Gerakan Anti Samy (GAS) pimpinan V. Mugilan. Ramai juga yang tidak sedar, penyokong Murugiah sebenarnya pernah menghantar surat merayu Presiden BN supaya menamakan Murugiah sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Tidak dapat dipastikan apakah Murugiah tahu atau pun tidak keinginan para penyokongnya itu tetapi penyokong Murugiah yakin bahawa jika BN meletakkan Murugiah menentang PKR, BN mempunyai peluang menang, amat cerah. Kayveas mungkin merasakan Najib amat memerlukan Murugiah dalam kerajaan hingga menyebabkan Najib tidak menggugurkan Murugiah ketika berlaku rombakan kecil kabinet baru-baru ini.

Tindakan Najib itu cukup-cukup mengecewakan Kayveas hingga terpaksa dia mengulangi beberapa kali cadangan supaya Najib segera menggugurkan Murugiah yang kini tidak mewakili mana-mana parti komponen BN. Kayveas lupa, bukan Murugiah sahaja yang tidak mewakili mana-mana parti politik, malahan Dato' Seri Idris Jala juga tidak mewakili mana-mana parti ketika dilantik menjadi Menteri Tanpa Potfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Begitu juga dengan Tan Sri Amirsham A. Aziz. Seorang lagi yang Najib lantik tanpa apa-apa kedudukan dalam parti ialah Dato' Jamil Khir Baharom, yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

Semua perlantikan ini meresahkan banyak pihak, khususnya mereka yang memegang jawatan pentinng dalam Umno dan parti-parti komponen BN yang lain. Namun, Najib merasakan kehendaknya lebih penting dari melayan karenah ini semua.

Ketika Gerakan juga dilihat tidak bermaya sekarang, ramai juga yang merasakan Murugiah mungkin akan dipujuk untuk menyertai parti pimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon. Setakat ini, beberapa nama dari kaum India termasuk Dominic Puttucherry dan Kohilan Pillay mendapat tempat dalam Gerakan.

Jika selepas ini Murugiah diberi peluang bertanding dalam pilihan raya mewakili BN, Kayveas yang dilihat keras dan pernah mengertak kepimpinan BN akan ‘demam tak kebah’ untuk terus berada dalam BN. Setakat ini ada dua parti kaum India yang menanti untuk menyertai BN iaitu MIUP dan IPF. Malangnya, IPF juga sudah dilihat berkrisis sejak ketiadaan Tan Sri Pandithan.

Di penghujung karier politik Samy Vellu, Kayveas selepas kematian Pandithan dan mungkin juga Murugiah sudah nampak penghujung jalan, kaum India barangkali sudah bersedia dengan pasukan baru untuk menjadi pemimpin mereka.

Ketika mereka bersedia kehilangan S. Subramaniam, Palanivel dan Sothianathan, barangkali mereka mahukan muka-muka baru seperti Mugilan dan barisan di bawah usia 40 tahun sebagai pelapis. Ketika Najib tidak mahu pemimpin BN bertelagah secara terbuka, sebenarnya Najib sendiri pasti tahu bahawa nasihat beliau bukan undang-undang yang tidak boleh dilanggari.

Malahan, jika tidak bertelagah secara terbuka sekali pun, Najib tentunya tidak mempunyai keupayaan untuk mendamaikan mereka yang sudah bertelagah termasuklah menahan beberapa ketua Umno bahagian dari mengundurkan diri. Mereka nampak selama ini najib terlalu sibuk mahu menjual produk ‘1Malaysia’ tanpa tahu apakah jualannya itu mendapat sambutan atau pun tidak.

Kekalahan BN di dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu sebenarnya membuktikan produk yang dijual tidak laku dan ia tentunya merunsingkan Najib hingga menyebabkan Najib menasihatkan pemimpin BN jangan bertelagah secara terbuka – kerana ia tentunya akan terus melemahkan BN yang memang sudah sedia lemah!

Tiada ulasan: