"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ISA: Tangkapan dedah sikap munafik kerajaan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Ogos:
Tangkapan besar-besaran peserta himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi bercanggah dengan janji kerajaan untuk meminda akta tersebut dan membongkar sikap munafik kerajaan.

Demikian kenyataan media bersama Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Writers Alliance for Media Independence (WAMI) dan Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), hari ini.

Sehubungan itu, mereka mengecam sekeras-kerasnya tindakan keras polis menyuraikan perhimpunan aman memasang lilin berhubung memansuhkan ISA dan menahan sebanyak 36 orang.

“Kami menyeru agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan serta merta untuk bertanggungjawab ke atas tangkapan besar-besaran yang mencabul hak asasi rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” ujar Datuk Dr. Toh Kin Woon, Presiden LLG; Wong Chin Huat, Presiden WAMI dan Liao Kok Fah, Pengerusi KLSCAH dalam kenyataan itu.

Menurut mereka, Menteri Dalam Negeri pernah menyatakan pada hujung Jun lalu bahawa rang undang-undang pindaan ISA akan dibentangkan di Parlimen dan ia akan menjamin hak rakyat berhimpun secara aman.

Hishammuddin pernah berkata: “Kalau berhimpun di bawah keadaan aman, kami tidak ada alasan mengenakan terlalu banyak batasan dan tidak membenarkan perhimpunan aman”.

“Tetapi, kami berpendapat, tangkapan besar-besaran 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindaan ISA, membongkarkan muka munafik kerajaan yang mengabaikan hak-hak sivil rakyat,” ujar merela lagi.

Ini ditambah dengan sebanyak 589 orang ditahan dalam perhimpunan anti-ISA pada 2009, jumlah tahanan disebabkan membantah ISA dalam masa dua tahun telah mencecah 625 orang.

Bagi mereka, jumlah tangkapan yang mengejutkan itu menunjukkan kerajaan tidak bertolerasi terhadap hak perhimpunan aman yang telah diiktiraf oleh dunia sejagat, seolah-olah Malaysia telah memasuki era negara polis, slogan “Rakyat didahulukan” adalah janji kosong sahaja.

“Maka, kami meminta Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negera meletak jawatan untuk memikul tanggungjawab terhadap tindakan polis yang mencabul hak rakyat berhimpunan secara aman,” kata mereka lagi.

Setelah Parlimen meluluskan ISA pada 1960, akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara telah disalahgunakan untuk menindas pembangkang dan mereka yang berlainan pendapat dengan pemerintah.

“Sehubungan dengan ini, kami mendesak kerajaan memansuhkan ISA tanpa sebarang syarat, bukan meminda ISA yang telah hilang objektif asalnya,” ujar mereka.

Tiada ulasan: