"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda bimbang polis pertahan sisa kuasa Umno

KOTA BHARU, 3 Ogos: Tindakan tidak profesional polis menahan dua wartawan yang bertugas pada program membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam semalam dipertikai Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak polis menahan wartawan yang sedang menjalankan tugas.

Katanya, tindakan polis menahan petugas berkenaan sehingga awal pagi jelas sekali menunjukkan pasukan keselamatan itu seolah-olah diperalat Umno dan Barisan Nasional bagi kepentingan politik mereka.

”Tindakan menahan petugas media menyebabkan pihak polis tidak lagi dihormati masyarakat,” katanya di sini.

Malam semalam dua wartawan akhbar Salmah Mat Hussain dari Harakah dan Rizal Tahir (harakahdaily) ditahan ketika sedang bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA.

Lebih mengejutkan lagi apabila anak mereka berusia 15 tahun yang berada dalam kereta juga ditahan. Mereka dibawa ke ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

Mereka ditahan ketika berjalan ke kereta untuk pulang selepas polis meminta orang ramai yang hadir bersurai.

Orang ramai memberitahu mereka melihat sebuah kenderaan polis cuba menghalang kereta wartawan terbabit setelah diletak di hadapan astaka stadium.

Kereta mereka digeledah bagi mencari risalah berkaitan perhimpunan membantah ISA.

Mereka kemudian dibebaskan kira-kira jam 2.45 pagi dengan jaminan polis setelah disoal siasat hampir lima jam.

Semalam Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan polis menahan wartawan yang sedang bertugas.

Seorang pengiat seni yang enggan mendedahkan identitinya bimbang penggunaan pasukan polis secara berleluasa akan menghakis demokrasi yang dipertahan di negara ini.

Perhimpunan membantah ISA yang diadakan di seluruh negara malam semalam berdepan dengan tindakan keras polis dengan menahan pencinta keadilan.

Ahmad Fadhli berharap pihak polis lebih mengutamakan kepentingan awam bagi menjaga keselamatan rakyat dan bukan bertindak menjaga sisa-sisa kuasa dimiliki Umno.

Tiada ulasan: