"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teng Hadir Jawatankuasa Disiplin DAP, Bukan Atas Kapasiti Speaker

ADUN Sungai Pinang Teng Chang Kim berkata beliau akan menghadiri siasatan jawatankuasa disiplin DAP atas kapasitinya sebagai pemimpin parti atau ADUN Sungai Panjang dan bukannya atas kedudukannya sebagai Speaker DUN Selangor serta Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau SELCAT.

Beliau berkata pendirian itu penting bagi memastikan maruah DUN Selangor, kerusi speaker dan jawatan pengerusi SELCAT terpelihara.

"Saya merasa terpanggil untuk melindungi nama baik dan martabat dewan serta martabat jawatankuasa dewan. Sebab itu saya menjawab bahawa saya tidak akan hadir pada siasatan jawatankuasa itu jika saya dipanggil atas kapasiti saya sebagai Speaker DUN atau Pengerusi SELCAT. Tetapi jika saya dipanggil atas dasar pemimpin parti saya akan akur," kata Teng.

Beliau bagaimanapun sedia meberikan kerjasama dengan jawatankuasa disiplin.

Teng bingkas membuat pendirian berpaksi kepada kenyataan pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, Tan Kok Wai yang mengatakan Teng sebagai pengerusi SELCAT, akan dipanggil membantu siasatan berhubung mengkritik keputusan jawatankuasa berkenaan.

Beliau membidas Tan kerana tidak profesional dan tidak boleh membezakan antara perkara yang membabitkan parti dan kerajaan negeri.

"Saya rasa kenyataan Tan sebagai amat tidak profesional dan berbahaya kerana jawatankuasa SELCAT itu adalah jawatan yang diwujudkan oleh dewan, jadi ia bertanggungjawab pada dewan, Oleh itu tidak ada mana- mana parti politik yang boleh memanggil pengerusi sebuah jawatankuasa dewan untuk menghadiri pendengaran dalam parti itu sendiri. Kita kena bezakan perkara parti dengan kerajaan," katanya lagi.

Teng diarahkan menghadiri jawatankuasa berkenaan dipercayai kerana beliau telah mengkritik keputusan yang telah dibuat jawatankuasa parti itu.

Namun, menurut Teng, beliau berhak mengkritik keputusan jawatankuasa disiplin, dengan alasan bahawa para pemimpin Pakatan Rakyat diberikan peluang untuk mengkritik pucuk pimpinan bagi tujuan penambahbaikan.

Tiada ulasan: