"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Ahli Usno tinggal BN, isytihar sokong Pakatan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Bekas Ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) kini mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat dan bersedia berkerjasama memenangkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Penaja pertubuhan itu, Datu Badaruddin Tun Datu Hj Mustapha memberitahu, mereka beralih angin menyokong Pakatan Rakyat akibat kecewa dengan sikap kerajaan khususnya bahagian Pendaftar Pertubuhan (ROS) Malaysia yang menolak permohonan mereka untuk menubuhkan Kelab Usno Sabah.

"Jesteru kami telah membuat ketetapan pada mesyuarat AJK Penaja Ex-Usno kali ke 12 hari ini, 24 Oktober, selaras dengan kehendak bekas ahli Usno untuk mentransformasi Usno ke arah pembangkang, maka hari ini kami ingin ucapkan sayonara kepada Barisan Nasional," katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha melalui rundingan telah dibuat sejak 2007 bagi merealisasikan hasrat 3000 ahli mereka untuk menubuhkan Usno dalam bentuk NGO, namun pendaftaran mereka ditolak oleh ROS.

"Kami telah berusaha menubuhkan Kelab Usno Sabah...kami telah temui Perdana Menteri, kami telah menemui Ketua Menteri Sabah bagi menerangkan hasrat kami yang tidak mengganggu kepentingan politik Umno di Sabah, bahkan memberikan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional bagi mengelak syak wasangka, " ujarnya kecewa apabila segala usaha tersebut gagal.

Sehubungan itu katanya, mereka bersedia mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan akan memberi kerjasama kepada wakil pakatan di Sabah untuk PRK Batu Sapi.

Beliau juga menggesa pihak-pihak tertentu yang berhasrat menubuhkan semula Usno sebagai parti politik agar membatalkan niat tersebut kerana yakin ianya akan gagal dan sia-sia.

Malah mereka menyeru pihak tersebut, rakyat Sabah termasuk bekas ahli Usno agar menyertai mereka berganding bahu dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi maksud Pilihan Raya Kecil Batu Sapi 4 November, Ex-Usno Sabah menyeru supaya semua ahlinya, semua bekas Usno yang berada dalam Umno di kawasan berkenaan, mengubah haluan memberikan undi dan sokongan kepada calon pembangkang," katanya.

Usno ditubuhkan pada 23 Disember 196, diasaskan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri ketiga Sabah dan berjaya memerintah negeri selepas memenangi pilihanraya negeri 1967.

Bagaimanapun, penguasaan Usno di Sabah hanya berjaya sehingga tahun 1976 apabila tewas kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya).

Selepas kekalahan itu, Usno seringkali meneruskan hasrat untuk menyertai pilihanraya negeri sehingga tahun 1990, namun hanya memenangi beberapa buah kerusi, dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan semula.

Usno kemudian dibubar setelah bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

Tiada ulasan: