"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Tidak Diberi Laporan Asal Pemeriksaan Saiful


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu hadir memberi sokongan kepada Anwar di Mahkamah hari ini
KUALA LUMPUR, 25 OKT: Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikejutkan dengan pendedahan seorang doktor pakar bedah bahawa wujud sebuah laporan pemeriksaan awal terhadap Saiful Bukhari Azlan tetapi laporan itu tidak dibentangkan di mahkamah.

Dr Razali Ibrahim mengesahkan bahawa doktor pakar yang memeriksa Saiful antara 28 Jun sehingga 13 Julai 2008 menyediakan laporan awal mengenai hasil pemeriksaan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Zaibidin Mohamad Diah kemudian mengarahkan Razali untuk mendapatkan laporan berkenaan.

Ketua pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden berkata beliau tidak tahu menahu mengenai laporan pemeriksaan awal terhadap Saiful yang dimaksudkan oleh Dr Razali.

“Ini kali pertama saya mendengar mengenainya,” beliau memberitahu mahkamah.

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata Saiful menjalani pemeriksaan awal pada 28 Jun dan satu laporan awal disiapkan tetapi tidak diketengahkan kepada mahkamah.

Apa yang dikemukakan oleh pendakwaraya adalah hanya laporan yang memuatkan hasil pemeriksaan oleh Dr Razali dan dua pakar lain iaitu Khairul Nizam dan Siew Sheue Feng yang dibuat pada 13 Julai.

“Pemeriksaan awal telah dijalankan pada 28 Jun dan kami pasti wujud nota-nota mengenai lalar belakang perubatan Saiful dan hasil wawancara dengan beliau, “ kata Sankara.

Sankara berkata laporan awal itu penting untuk membuat perbandingan mengenai maklumat yang terkandung dalam laporan perubatan yang dikemukakan kemudian kepada mahkamah.

Beliau menyifatkan maklumat tertentu dalam laporan perubatan yang dibentangkan di mahkamah agak terbatas, contohnya sejarah perubatan Saiful dinyatakan sepintas lalu menerusi dua perenggan.

Tiada ulasan: