Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kesal atas sikap tidak prihatin Kerajaan Negeri Perak yang jelas telah melanggar dan 'membakulsampahkan' peraturan tatacara hiburan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri setelah penganjuran konsert sambutan ambang tahun baru oleh kerajaan negeri baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir tidak langsung mematuhi peraturan tersebut.
Majlis yang dianjurkan jelas bertentangan dengan ketegasan Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria yang satu ketika dahulu ‘mengharamkan’ konsert Sureheboh TV3. Kenapakah kerajaan negeri tidak menggunapakai Peraturan yang telah disediakan oleh Jabatan Mufti Perak? Konsert tersebut yang berakhir melebihi jam 12.30 tengah malam banyak mengundang masalah sosial di kalangan remaja kita. Datuk Seri Zambry, sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam di Negeri Perak, sepatutnya lebih peduli dan perihatin terhadap peraturan yang digariskan oleh Jabatan Mufti Perak demi menjaga akhlak muda-mudi Islam. Perjalanan program konsert yang membenarkan pergaulan bebas muda-mudi, tanpa sebarang pengasingan, serta membenarkan ianya berlarutan sehingga melewati jam tengah malam secara jelas tidak menghormati, memperlekehkan malah seolah mencabar Peraturan Jabatan Mufti Perak tersebut yang bermatlamat untuk merealisasikan masyarakat madani yang diredhoi Allah.
Walaupun ada acara bacaan doa, namun ianya seperti tempelan kecil yang akhirnya ditelenggami dan dihinakan dengan persembahan konsert yang amat melalaikan. Disebabkan itulah, DPPN Pk bertegas akan hanya bersetuju dan menyokong mana-mana konsert untuk diadakan di negeri ini jika ianya mengikuti garis panduan Peraturan Jabatan Mufti Perak seperti yang dijalankan oleh Jomheboh TV3 di Negeri Kelantan dahulu.
DPPN Pk minta agar penjelasan daripada ‘anak didik emas’ Tan Sri Harussani iaitu Datuk Seri Zambry untuk memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakan. Datuk Seri Zambry seolah-olah ‘tutup mata’ dengan apa yang berlaku tanpa ada kenyataan tegas agar memastikan konsert seumpama ini tidak akan berulang dan 'nasihat' Tan Sri Harussani dipatuhi oleh kerajaan negeri. Persoalannya adakah memang Datuk Seri Zambry tidak ambil peduli soal keruntuhan akhlak remaja Melayu / Islam kini dengan tidak mengambil tahu butiran program yang disusun atau, lebih buruk lagi, memberikan restu beliau terhadap konsert tersebut?
Kenyataan Media (2 Januari 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan