Zolkharnain Abidin
TGNA telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pertemuan dengan SPB YDP Agung dan beberapa orang lagi. Entah macam mana perasaan orang lain, tetapi saya sendiri kurang puas hati dengan kenyataan pendek itu.
Bukan meragui TGNA, atau mempersoal kewibawaan TGNA, kerana semua orang maklum mengenai sikap TGNA berhubung ‘kerjasama’ dengan Umno, tetapi kenyataan TGNA seperti tidak menjawab apa yang bersarang di dalam kepala.
Nasib baik pertemuan tersebut turut dihadiri TGNA. Entah bagaimana ‘bom’ yang akan dilepaskan jika pertemuan itu tanpa TGNA.
Dalam sesebuah keluarga, memang benar tidak semua perkara patut diketahui oleh anak-anak. Ada ketikanya, pintu bilik dikunci rapat. Ada rahsia besar yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan anak-anak.
Tetapi biasanya, perkara yang disembunyikan itu tidak berkaitan secara langsung dengan peribadi anak-anak. Itu seratus peratus urusan ibu bapa.
Sekiranya yang disembunyikan itu berkaitan peribadi anak-anak, ia hanya bersifat sementara sahaja, bertujuan untuk penghadaman idea dan mencari kata sepakat. Akhirnya, perkara tersebut di dedahkan juga kepada anak-anak pada masa yang sesuai.
Jika ahli-ahli PAS ibarat anak-anak dan barisan pemimpin ibarat ibu bapa, maka situasi di atas adalah terpakai.
TGNA berhak berahsia jika perkara itu tiada kaitan langsung dengan ahli-ahli PAS, jika sekiranya pertemuan itu dihadiri atas nama ‘TGNA’. Jika pertemuan itu dihadiri atas nama Mursyid Am PAS, TGNA boleh berahsia juga tetapi hendaklah bersifat sementara.
Kehadiran atas nama Mursyid Am PAS tentu sekali ada kaitan secara langsung dengan ahli PAS kerana mana mungkin ada mursyid tanpa ahli.
TGNA boleh berahsia untuk menghadamkan isi pertemuan itu, atau untuk kesepakatan idea dengan pemimpin yang lain, tetapi berahsia secara terus-menerus memungkinkan anak-anak berasa pelik dan bakal mempersoalkan.
Anak-anak bukan mahukan ibu bapa memperincikan satu persatu apa yang dibincangkan tetapi cukuplah sekadar menyatakan isu-isu pokok perbincangan.
Anak-anak juga ada sikap, pemikiran dan idea tersendiri. Dibimbangi, jika kerahsiaan berlangsung, berlaku pula pertembungan keputusan dan tindakan antara kedua-dua belah pihak. Tentu ibu bapa tidak mahu anak-anak membuat keputusan atau berfikir perkara yang berlainan daripada apa yang difikirkan dan diputuskan oleh mereka.
Sebab itu, ibu bapa tidak boleh mempermainkan perasaan anak-anak dan membiarkan anak-anak ternanti-nanti mengenai apa yang dibincangkan dan diputuskan oleh mereka.
Rasanya, ahli-ahli PAS berhak untuk tahu hasil perbincangan TGNA dengan pihak-pihak yang terlibat sekiranya perkara itu berkaitan langsung dengan mereka.
Namun begitu TGNA boleh terus menyembunyikan dan merahsiakan isi pertemuan itu jika beliau berpendapat ahli PAS ‘tidak patut tahu’ atau ‘patut tidak tahu’ mengenai perkara itu.
‘Tidak patut tahu’, maksudnya, perkara yang dibincangkan itu terlalu besar sehingga tidak tertanggung oleh ahli-ahli PAS atau pemikiran ahli PAS tidak sampai untuk berfikir mengenai perkara itu.
‘Patut tidak tahu’ pula, bermaksud jika perkara itu boleh merosakkan ahli-ahli PAS atau berlaku pertelagahan dalam keluarga PAS. Tentu pemimpin PAS lebih berhak untuk mengkategorikan hasil pertemuan itu dalam mana-mana kategori di atas.
Namun, saya berfikir isi pertemuan itu masih dalam kategori ‘patut tahu’.
http://sauhdibongkar.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan