"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan inkues mengenai kematian Teoh diketahui petang esok

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Keputusan yang ditunggu-tunggu mengenai inkues kematian pembantu politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock dijangka diketahui pada petang esok.

Koroner Azmil Muntapha Abas akan menyampaikan keputusan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada pukul 2.30 petang esok.

Anggota keluarga Teoh, peguam yang mewakili pelbagai pihak, orang awam dan wakil media dijangka berada di bilik mahkamah itu yang terletak di tingkat dua, bangunan sambungan kompleks mahkamah itu.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini tidak ada tanda-tanda sebarang penangguhan mengenai keputusan itu yang diterima daripada pegawai mahkamah berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Setelah banyak menuding jari dan tuduhan, pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues itu diadakan berikutan kematian Teoh yang membangkitkan beberapa persoalan sama ada beliau membunuh diri atau dibunuh dan paling penting, bagaimana, bila dan cara mangsa itu menemui ajalnya.

Laporan meluas bahawa beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor. 
-Bernama-

Tiada ulasan: