"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BAM sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Misbun?

Lee (kiri) dijangka akan mengekori Misbun keluar dari BAM. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 5 Jan: “Kita jangan terlalu bergantung pada seseorang,” kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh.

Jika ditafsirkan pendirian beliau itu, badan induk tersebut seolah-olah sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Misbun Sidek.

Nadzmi yang pulang dari London semalam turut mempertahankan tindakan perubahan dan pembaharuan dilakukan dalam struktur kejurulatihan dan latihan yang dikatakan menjadi antara faktor Misbun meletak jawatan secara mengejut, Jumaat lalu.

“Kita perlu melakukan perubahan dan pembaharuan dengan fokus utama melahirkan lebih ramai juara dunia. Jika dulu kita tidak mempunyai sistem dan matlamat dengan jurulatih tidak dipantau dan diletakkan sasaran, tetapi hari ini kita mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama).

“Lagipun, saya tidak terima aduan daripada jurulatih, termasuk Misbun mengenai ketidakpuasan hati berhubung perubahan dan pembaharuan itu,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Nadzmi juga menegaskan, beliau yakin tidak ada pegawai BAM yang menjadi punca Misbun meletak jawatan kerana semuanya tidak mempunyai kepentingan, sebaliknya hanya mempunyai minat yang tinggi sebagai sukarelawan untuk memajukan badminton.

Tambah Nadzmi, beliau akan bertemu semua pihak hari ini, termasuk Misbun dan pegawai BAM.

“Kita tengok sekiranya majoriti bersetuju terima peletakan jawatannya, kita akan terima. Jika kita pujuk, tapi dia tidak sepenuh hati untuk kembali, tak guna juga,” katanya.

BAM kini berhadapan dengan kemelut peletakan Misbun secara mengejut selaku jurulatih perseorangan negara.

Susulan peletakan jawatan jurulatih berusia 51 tahun itu, anak emasnya, Datuk Lee Chong Wei yang menghimpun sembilan kejuaraan musim lalu turut mengesahkan akan mengikuti jejak jurulatih yang membimbingnya sejak lebih enam tahun lalu.

Satu lagi laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, “jika kedua-duanya (Misbun dan Lee Chong Wei) menerima tawaran lebih baik di luar, biarlah mereka pergi.”

Zolkples yakin tindakan Misbun dan Lee keluar dari BAM tidak akan menjejaskan misi memburu pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 mahu pun badan induk itu sendiri.

“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan BAM kerana di BAM, Misbun hanya melatih Chong Wei seorang. Jadi, jika kedua-duanya berfikir mendapat kemudahan lebih baik di luar yang mampu meningkatkan prestasi, BAM tidak patut menghalang,” katanya.

Zolkples berkata, BAM harus berfikir positif kerana secara tidak langsung keputusan Misbun dan Lee itu akan mengurangkan beban kewangan badan induk berkenaan kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan.

“Sebaliknya, BAM boleh menggunakan kewangan yang ada untuk membimbing dan melahirkan lebih ramai Lee Chong Wei baru.

“Jika kita lihat di Indonesia, Persatuan Bulu Tangkis Indonesia (PBSI) tidak mempunyai pemain, sebaliknya mereka hanya bertindak selaku penyelaras dengan lebih ramai pemain berlatih di kelab-kelab,” katanya.

Zolkples bagaimanapun menegaskan apa yang paling penting kedua-duanya perlu bersedia untuk mewakili negara dalam kejohanan utama apabila dipilih tanpa mengenakan sebarang syarat.

Isu Misbun: Kita jangan terlalu gantung pada seseorang, kata BAM

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: