"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor lantik Param, Aziz Bari bantu pindaan perlembagaan

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pakar undang-undang dan hak asasi manusia terkemuka Datuk Param Cumaraswamy dan ahli akademik Prof Dr A Aziz Baru dilantik untuk memberi nasihat perundangan dalam soal pindaan perlembagaan negeri Selangor.

Aziz juga terkenal sebagai pakar perlembagaan yang berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Mengumumkan pelantikan mereka hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diminta melihat cadangan pindaan yang hendak dibawa oleh kerajaan negeri ekoran pertikaian yang wujud dalam soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, Khalid juga berkata, kenyataan bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri hanyalah pandangan peribadi Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Pindaan Perlembagaan pada 1993 secara jelas telah menghapuskan kuasa Sultan dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif.

“Sebelum 1993 (sebelum Perlembagaan dipinda), dinyatakan dengan jelas bidang kuasa Sultan dalam pelantikan pegawai eksekutif,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Khalid menjelaskan cadangan meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 akan mengembalikan kuasa kepada Sultan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

“Saya yakin Sultan memahami situasi yang berlaku selepas 1993 dan keadaan yang berlaku sekarang,” kata Khalid.

Khalid juga berkata, cadangan pindaan akan dibuat dengan tertib dan akan dimaklumkan kepada Sultan Selangor sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hujung bulan ini.

Menteri Besar juga berkata, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pagi ini telah bersetuju untuk menyerahkan usul untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri dan surat mengenai perkara itu telah dihantar kepada Speaker Datuk Teng Chang Khim.

Tiada ulasan: