"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek Samun Maut Bertembung Dengan Kereta Mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang suspek samun maut, manakala rakannya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dipandu oleh mangsa yang disamun mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Amiruddin Jamaluddin berkata kejadian berlaku di Taman Mega Jaya, Ampang Jaya di sini kira-kira 8.50 pagi tadi.

Katanya suspek yang berumur 34 tahun mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat manakala rakannya berusia 28 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital yang sama.

Beliau berkata kedua-dua suspek lelaki warganegara Indonesia.

Amiruddin berkata kedua-dua suspek dilaporkan menyamun beg tangan mangsa, seorang wanita berumur 28 tahun yang diletakkan di tempat duduk hadapan keretanya yang dipakir di luar rumah ketika mangsa sedang menutup pintu pagar untuk keluar bekerja pada 8.40 pagi. Melihat tindakan dua suspek itu, mangsa telah cuba merampas balik beg tangannya tetapi ditendang oleh suspek yang terus melarikan diri dan mangsa telah mengejar suspek dengan memintas mereka di sebuah simpang, kira-kira 200 meter dari rumah mangsa, tambahnya.

Beliau berkata suspek yang datang dari arah bertentangan, hilang kawalan dan motosikalnya merempuh kereta mangsa yang berhenti di hadapan mereka, menyebabkan kedua-dua suspek tercampak ke dalam longkang di tepi jalan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati suspek menggunakan motosikal curi dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 41(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menaiki motosikal curi.

Mangsa kes samun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis telah mengambil keterangan darinya, katanya yang turut memuji tindakan pantas orang ramai untuk melaporkan kejadian tersebut.
-Bernama-

Tiada ulasan: