"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih 2.0 : Suhakam Timbang Keperluan Siasatan Awam


SHAH ALAM, 10 JULAI: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersedia menimbang untuk  mengadakan   siasatan awam terhadap isu kekerasan polis dalam membanteras perhimpunan aman Bersih semalam yang berakhir dengan seorang mati dan puluhan lagi yang cedera. 

Pesuruhjaya Suhakam Mohamad Sha’ani Abdullah menggesa semua pihak yang mendakwa dikasari polis membuat aduan rasmi kepada badan itu bagi membolehkan badan itu mengambil tindakan susulan. 
Sebuah siasatan awam akan menwajibkan pegawai-pegawai polis untuk tampil memberi keterangan dan penjelasan kepada Suhakam mengenai tindak-tanduk mereka  dalam membanteras Bersih 2.0. 

Sha’ani berkata polis tidak harus menggunakan kekerasan selagi tidak ada risiko keselamatan atau ancaman nyawa. 

“Sebarang tindakan pihak berkuasa tidak boleh membelakangkan keselamatan dan risiko kepada kesihatan mana-mana pihak,” beliau memberitahu TvSelangor. 

“Perkara ini perlu menjadi pengajaran bahawa tindakan (polis) harus secocok dengan risiko ataupun ancaman. Kalau tiada ancaman tidak perlu tembak gas pemedih mata dan pihak berkuasa perlu prihatian kepada keadaan bukan menunjuk kuasa. Itu bukan penyelesaian,” tegasnya. 

Sha’ani berkata pihaknya sudah pun menerima aduan daripada peserta Bersih dan akan mengambil tindakan yang berpatutan demi menegakkan kebenaran.  

"Kami telah menerima aduan-aduan daripada peserta perhimpunan dan kami juga mempelawa sekiranya ada pihak-pihak lain nak memajukan aduan berkaitan sebarang tindakan pihak berkuasa yang dianggap tidak berpatutan boleh diajukan kepada Suhakam, “ kata beliau. 

“Ini akan membantu kami menyediakan satu laporan dan juga untuk  mempertimbangkan semua aduan.Jika difikirkan perlu ada satu inkuiri awam, suruhanjaya akan putuskan. Saya tak dapat nyatakan akan ada atau perlu, tetapi itu akan dipertimbangkan oleh pihak suruhanjaya,” kata beliau.   

Sha’ani berkata buat masa ini, Suhakam akan memberi laporan kepada kerajaan dengan mencadangkan pendekatan yang harus diutamakan bagi menangani keadaan seperti perhimpunan aman semalam.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: