Abd Shukur Harun
KALAU bukan kerana Aishah atau Wan Aishah Wan Arifin, bekas penyanyi, yang bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan, saya fikir kawasan Parlimen tersebut biasa-biasa saja menghadapi PRU13 ini.
Tetapi kerana kemasyhuran namanya dan menjadi calon PAS pula, maka kelihatan ada ‘kejutan besar’ di kawasan itu.
Dengan serta merta Jempol yang luas dan sinonim dengan kawasan Felda itu - tempat kelahiran Pendita Za’ba - menjadi begitu terkenal dan menjadi sangat luar biasa.
Saya mengikuti kempen Aishah dan rombongan petugasnya, menyaksikan program Aishah yang begitu padat. Namun Aishah yang lahir di Jempol itu, sentiasa ceria walaupun penat.
Bayangkan hampir setiap pengundi yang ditemuinya, semuanya hendak bergambar dengannya. Satu lagi kelebihannya dia sering menggunakan loghat Negeri Sembilan ketika beramah mesra dengan rakyat yang ditemuinya, menyebabkan dia begitu mesra sekali dengan penduduk tempatan, lebih-lebih lagi saudara maranya ramai di Jempol, malah rumah neneknya ada di situ.
Hari itu, Aishah menghadiri tiga majlis kenduri dan pelbagai program lain di kawasan Felda yang luas itu dan pulang keletihan hingga malam. Yang menariknya, mereka yang hadir di majlis itu tidak putus-putus hendak bergambar dengannya, malah ramai wanita di Felda itu memeluknya dan suasana di situ sangat mesra sekali.
Aishah kelihatan diterima baik oleh masyarakat Felda dan Aishah berharap: “Bergambar dah banyak, bersalaman juga dah banyak. Mudah-mudahan mereka yang bergambar dan bersalaman dengan saya itu akan mengundi saya.”
Sambutan yang diterimanya, termasuk oleh wanita di kawasan Felda yang luas di Jempol itu sangat menggalakkan. Peneroka Felda, khususnya wanita, yang biasanya tidak berminat dengan politik, tiba-tiba saja keluar ke laman rumah mereka mengalungalukan kunjungan Aishah dan rombongan. Malah seorang wanita yang sakit dan berbaring di katilnya, apabila diberitahu kedatangan Aishah telah bangun dan hendak bergambar dengan beliau. Aishah mendoakan wanita itu supaya segera sembuh.
Mengikuti rombongan Aishah seperti kita mengarak pengantin, di banyak tempat, Aishah ditunggu di tepi jalan untuk bersalaman dan bergambar.
Walaupun kelihatan letih kerana memenuhi program yang padat, namun Aishah kelihatan sentiasa ceria dan ramai dan orang sentiasa mengingat lagu popularnya, ‘Janji Manismu’ dan ‘Camar Yang Pulang’.
Beliau bijak berkomunikasi dengan rakyat dan ada ketikanya berseloroh dengan loghat negeri.
Pada zahirnya, Aishah kelihatan amat disayangi oleh penduduk Jempol, namun adakah ia akan diterjemahkan di peti undi, akan dapat diketahui pada 5 Mei ini.
Beliau banyak menerima undangan seluruh negara untuk berceramah dalam masa kempen ini, tetapi kata Aishah, “Mano dayo nak pi semua, masa sontok, terima kasih sajolah.”
Dalam kesibukannya berkempen dan kepenatan, Aishah tetap melakukan solat tahajud dan membaca Al- Makthurat, berdoa dan berdoa. “Kita jangan lupa pergantungan kepada Allah,” katanya.
Mendengar ceramahnya, ternyata Aishah dapat menguasai keadaan, memahami realiti masyarakat dan menggunakan bahasa yang mudah difaham.
Kejayaannya ini berhubung rapat dengan pendedahannya selama 10 tahun di luar negara, belajar hingga lulus ijazah sains politik di sebuah universiti New Zealand, walaupun terlibat dengan dunia seni.
Aishah kini berada di tengah-tengah masyarakat Jempol, kampung kelahirannya, menunggu keputusan PRU 5 Mei ini.
Walaupun mengharapkan kemenangan, Aishah sentiasa menggantungkan harapan kepada Ilahi dan penuh percaya Allahlah yang menentukan menang dan kalah, setelah manusia berusaha. Sebab itu, katanya, dia akan menerima segala keputusan 5 Mei ini dengan penuh reda.
Aishah menyertai PAS kerana meyakini perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam. “Saya menyertai PAS dengan keyakinan penuh terhadap dasar perjuangannya yang tidak berubah. Mudah-mudahan kami dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada perjuangan Islam melalui PAS.”
Beliau dan artis Abby Abadi, Bob Lokman, Hairie Othman, Ito dan yang lain mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberikan sokongan.
Aishah sangat bersifat keibuaan, ramah dan sangat menyayangi kanak-kanak serta bersimpati dengan nasib rakyat yang malang.
Pengundi di Jempol ini sangat beruntung kerana Aishah akan bertanding sebagai calon PAS di situ. Mengundi Aishah bererti anda memilih calon wanita terpelajar yang solehah, yang akan mampu membawa masalah anda di Parlimen, dalam masa yang sama anda memilih calon dari parti yang memperjuangkan Islam, iaitu PAS yang menjadi komponen penting Pakatan Rakyat.
Cita-citanya ialah hendak berkhidmat kepada masyarakat, khususnya masyarakat Jempol, memperjuangkan hak-hak mereka, menjunjung keadilan untuk semua.
Jempol adalah antara daerah terbesar di Negeri Sembilan. Daerah ini terletak bersempadan dengan negeri Pahang. Bandar utamanya ialah Bahau.
Pemimpin Umno-BN yang meletakkan Isa Samad sebagai calonnya, dengan pandangan lamanya, percaya bahawa peneroka kawasan Felda yang luas di Jempol itu akan memihak kepada BN dalam PRU ini.
Tetapi mereka tidak menyedari perubahan yang berlaku di Jempol, termasuk di kawasan Felda sendri, di mana jumlah pengundi muda – 40 tahun ke bawah - hampir 40 peratus dan mereka ini cenderung kepada calon Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran calon popular dan berpendidikan tinggi yang mewakili PAS, iaitu Aishah.
Oleh itu ramai yang percaya, keputusan Parlimen Jempol pada 5 Mei ini akan membawa kejutan yang besar, sesuai dengan lagu popular Pakatan di Negeri Sembilan sekarang ini, “Ubah Jang Ubah. Kito anak Nogori sama-sama berjuang.”
Mudah-mudahan penat lelah semua pihak dalam Pakatan Rakyat, khususnuya Aishah, akan melahirkan kemenangan, dengan izin Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan