"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Walaupun BN menang Putrajaya, lima pegawai Najib terkubur

KUALA LUMPUR: Dalam kegembiraan meraikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat, kelima-lima pegawai Datuk Seri Najib Razak kalah di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini.
Langkah pembaharuan yang cuba dibawa Najib tersebut gagal, walaupun pada awalnya calon-calon tersebut dikatakan mampu memberi suntikan kemenangan kepada BN dalam cubaan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.
Dua pegawai khas beliau tewas kepada calon PAS di Kedah, Datuk Shahlan Ismail dan Datuk Latt Shariman Abdullah walaupun BN berjaya merampas semula negeri yang jatuh ke tangan BN dalam Pilihan Raya 2008.

Shahlan tewas dengan majoriti 3,935 kepada calon PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala Latt Shariman pula tewas kepada calon PAS Mohd Nasir Mustafa dengan majoriti 1,044 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kubang Rotan.

Manakala cubaan Najib untuk sekurang-kurangnya mendapat tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga gagal selepas Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 5,511 berbanding keputusan yang diperoleh pada tahun 2008.

Dua lagi pegawai khas beliau yang tewas di kerusi Parlimen adalah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Baru dan Datuk Mohamed Suffian Awang di Kuantan.

Tiada ulasan: