"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ya Tuhan! Apakah yang orang Cina lakukan?

Daniel Teoh Tzu Yong

SEJURUS selepas mengetahui bahawa Barisan Nasional telah memperolehi bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, Encik Najib bin Razak telah memberi analisis ringkas beliau terhadap keputusan Pilihan Raya 13. Ia cukup senang: tsunami Cina.
Mungkin ini kerana penasihat-penasihat beliau merasakan dua perkataan ini mampu mengekalkan beliau sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia. Kebetulan pula, parti DAP mendapat keputusan yang paling cemerlang dalam sejarah parti itu dan kini menjadi parti pembangkang terbesar dalam Parlimen.

Kita sedia maklum dengan tanggapan BN terhadap DAP: parti Cina chauvinis yang sentiasa mengkritik kerajaan (Melayu) di samping hanya mengangkat agenda-agenda Cina seperti pendidikan sekolah Cina.

Maka dengan dua perkataan ini, Encik Najib berharap mendapat anggukan setuju dan sokongan orang Melayu umumnya, dan ini bertujuan untuk mematahkan sebarang cabaran daripada dalam parti beliau sendiri. Beliau turut disokong oleh Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek yang memberi komen bahawa kini Malaysia mempunyai sistem dua-kaum (two-race system).

Penulis tidak mampu menberi pencerahan terhadap apa yang berlaku semalam, daripada segi pendakwaan amalan penipuan undi, atau kembalinya undi Melayu ke pangkuan BN. Sudah pasti topik ini menjadi bualan para penganalisis dan pakar sains politik dalam hari-hari akan datang.

Ramai kawan-kawan penulis yang berbangsa Cina kecewa dan marah selepas mendapat keputusan. Mereka begitu terkilan dengan komen ‘tsunami pengundi Cina’ . Bangsa penulis dijadikan senjata oleh Encik Najib dan ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dan ketakutan.

Jadi amatlah sesuai rasanya tajuk cerita ini. Apa yang orang telah Cina lakukan?

Dr. Mahathir pernah memuji kaum Cina sebagai lebih pragmatik dan praktikal. Penulis berterima kasih kepada Tun atas pujian tersebut dan akan cuba menjelaskan trend mengundi pengundi Cina, terutamanya yang muda.

Pengundi Cina disuap dengan pelbagai jenis berita rasuah dan salah-guna kuasa tiap-tiap hari di media sosial. Walaupun bukan semuanya betul atau tepat, malangnya kerajaan BN yang lepas ada juga mengaku atas tuduhan kepincangan pentadbirannya.

Isu seperti skandal lembu NFC telah memberi persepsi buruk bahawa kerajaan (bukan parti) dipenuhi kekotoran dan memerlukan perubahan drastik.

BN tidak memahami sentiment anti-rasuah (bukan kerajaan Melayu) ini, maka mereka telah menggunakan taktik pendekatan yang amat salah. Cara seperti mempelawa Psy untuk menyanyi lagu ketika Tahun Baru Cina bukan sahaja tidak menyumbang kepada faktor ‘feel good’ terhadap BN, tetapi mengukuhkan lagi tanggapan pengundi Cina bahawa BN kaya sangat dengan hasil rasuah sehingga Psy pun boleh dijemput macam itu sahaja.

Ketidakfahaman ini juga mengakibatkan Encik Najib menanyakan soalan yang ‘memalukan’ kepada hadirin-hadirin di Han Chiang itu.

Sebagai peringatan, BN wajar mendapat maklumat dan nasihat dari sumber yang lain daripada MCA. Kekalahan teruk parti komponen itu telah menghantar mesej yang jelas lagi teru-terang.

Pengundi Cina juga tertarik dengan penawaran calon-calon yang berkaliber lagi menarik daripada parti-parti pembangkang. Kebanyakan calon-calon ini merupakan orang yang relatifnya muda, profesional, dan tidak mempunyai bagasi politik. Kebanyakan mereka bersih dan berani untuk berdepan dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

Calon-calon yang ditawarkan oleh MCA pula terkenal dengan nyanyian dan kelakuan yang memalukan. Malah salah satu calon profesional dari MCA – calon Parlimen Pandan Encik Gary Lim – dikatakan telah melanggar etika peguam dan surat-surat tunjuk sebab yang dihantarkan kepada beliau telah dibongkarkan oleh Rafizi Ramli.

Persepsi rasuah, cara pendekatan yang salah hasil ketidakfahaman aspirasi pengundi Cina, dan perbezaan kualiti antara calon-calon merupakan penjelasan penulis akan sokongan kuat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Wahai Encik Najib, apakah yang orang Cina telah lakukan?

1 ulasan:

Ni berkata...

Orang cina mahu pemimpin yg BERSIH dari RASUAH dan AMANAH. Parti mana yg ada ciri-ciri itu?