"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kegagalan PAS disebabkan oleh "FENOMENA TERENGGANU 2004"

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
1. Secara keseluruhan PPP menyimpulkan kekalahan PAS dan PKR di beberapa kerusi sasaran di seluruh negara adalah disebabkan oleh "FENOMENA TERENGGANU 2004", yang melanda seluruh Semenanjung Malaysia.

Yang saya maksudkan "Fenomena Terengganu 2004" ialah pertambahan pengundi baru yang meningkat secara mendadak di beberapa kawasan dan peratusan keluar mengundi yang bertambah lebih 10% di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, 8 - 10% di Pahang dan sekitar 5% di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

2. Dari segi jumlah undi yang diperolehi oleh PAS di kerusi-kerusi sasaran, sebahagian besarnya melebihi sasaran dan meningkat.

Sekiranya peratusan keluar kekal seperti seperti tahun 2008, berkemungkinan PAS akan mengekalkan kerusi di semua kerusi parlimen di Kedah dan Selangor, serta menambah beberapa kerusi yang disasarkan sebelum ini seperti parlimen Arau, Jerlun, Tasik Gelugur, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Besar, Tanjung Karang, Jerantut, Jempol dan Pulai.

Oleh sebab itu, PAS dijangkakan boleh memperolehi 38 kerusi parlimen, iaitu 24 kerusi yang sepatutnya boleh dikekalkan, 4 kerusi yang disasarkan dan menang iaitu Sepang, Temerloh, Kuala Nerus dan Dungun, dan 10 kerusi sasaran yang disebutkan di atas.

3. Peningkatan jumlah pengundi yang keluar mengundi ini boleh jadi berlaku disebabkan jentera BN telah mengenal pasti golongan 'pengundi malas" yang tidak keluar dalam pilihanraya-pilihanraya lepas dan telah mengerahkan mereka untuk keluar dengan pelbagai cara.

Bagaimanapun tidak juga boleh ditolak, ada 'pengundi hantu' yang telah keluar bagi pihak 'pengundi malas' sebagaimana berlaku beberapa kes pengundi sebenar yang tidak boleh mengundi disebabkan hak mereka telah digunakan oleh orang lain.

4. PAS berjaya meraih undi lebih baik daripada UMNO bagi golongan muda Melayu, masyarakat Melayu urban, masyarakat kelas menengah Melayu dan golongan Melayu berpendidikan, manakala UMNO dilihat lebih menyandarkan kepada golongan pengundi vateran Melayu dan masyarakat Melayu pedalaman.

5. Sekiranya "Fenomena Terengganu 2004" ini dapat diatasi, PAS dan PKR akan mendapat lebih kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, dan dengan jumlah tersebut PR dijangka boleh menang dengan majoriti mudah di peringkat persekutuan.

* Penulis adalah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Tiada ulasan: