PETALING JAYA: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan tidak timbul isu diantara menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 28 Oktober ini.
Anwar dan Hadi akan dihadapkan ke mahkamah pada tarikh yang sama namun tempat yang berbeza.
Menurutnya, kronologi kes di antara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Presiden PAS adalah sangat berbeza.
“Kes Anwar ini sudah berlangsung selama bertahun-tahun, melibatkan isu-isu tentang keadilan, isu kehakiman dan juga isu pendakwaan yang terpilih.
“Maknanya tabiat kes Anwar ini cukup berliku dan ini berbeza dengan tabiat dan kes Presiden PAS,” katanya ketika dihubungi FMT.
Jelasnya, motif hukuman juga tidak sama.
“Anwar sudah sampai ke tahap rayuan yang merupakan jalan terakhir.
“Manakala Presiden saya, dia diminta hadir ke mahkamah mengenai pertuduhan yang dikatakan fitnah terhadapnya,” ujar beliau lagi.
Walaubagaimanapun, Mujahid tidak menafikan bahawa Anwar dan Hadi merupakan pemimpin besar di dalam Pakatan Rakyat (PR).
Mujahid turut membayangkan bahawa kemungkinan pemimpin PAS dari Pantai Timur akan turun ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu manakala pemimpin lain akan berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan di Parlimen dan juga memberi sokongan kepada Anwar.
Namun demikian Mujahid tidak menyatakan sama ada beliau akan menghadiri kes Anwar ataupun Hadi.
“Saya belum buat apa-apa keputusan. Implikasi di Kuala Lumpur dan di Terengganu juga berbeza. Kita kena faham.
“Saya berasakan saya kalau dapat hadiri di kedua-dua tempat adalah lebih baik. Tetapi apakan daya saya tidak boleh berada di dua tempat yang sama,” ujar beliau.
Pada 28 Oktober ini, Hadi akan menghadiri perbicaraan kes saman fitnah oleh calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada jam 9 pagi. Manakala Anwar akan menghadiri Mahkamah Tinggi Putrajaya bagi tuduhan liwatnya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menyatakan beliau akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi mengiringi kes Presiden PAS pada tarikh tersebut. Manakala, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa beliau akan hadir ke Putrajaya bagi memberi sokongan kepada keluarga Anwar Ibrahim.
-FMT-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan