"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sentuh anjing: Keluasan dalam Islam ada batasnya

AHMAD MOUHYIDEEN HASSIM
Perbezaan pendapat di kalangan ahli feqah dan mazhab dalam isu menyentuh anjing tidak dinafikan merupakan suatu keluasan dalam Islam. Mazhab Syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis yang berat (mughallazah). Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi pula menyatakan hanya air liurnya sahaja yang najis.

Mazhab yang diamalkan di Malaysia ialah Mazhab Syafie. Ia menjadi pegangan orang awam dan diajar secara meluas sama ada melalui pendidikan formal atau pun tidak formal. Beramal dengan mazhab yang lain dalam isu anjing ini hanyalah akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam masyarakat dan membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

Justeru, keluasan feqah melalui perbezaan pandangan ulama dan mazhab dalam isu anjing ini mesti diikat dengan Maqasid as-Syariah yang bertujuan untuk mendatangkan maslahat dan menolak mafsadah (kerosakan). Perpecahan dan perbalahan yang timbul dalam masyarakat perlu dihindarkan dengan hanya berpegang kepada mazhab Syafie dalam isu ini.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Wahai Aisyah, jika tidak kerana kaummu masih baru dengan zaman jahiliyyahnya maka aku akan menyuruh diruntuhkan Kaabah dan dimasukkan ke dalamnya perkara yang dikeluarkan daripadanya (Hijir Ismail), aku akan melekatkannya dengan bumi dan aku akan jadikan baginya dua pintu, pintu di sebelah timur dan pintu di sebelah barat. Maka aku telah membina sebagaimana asas Nabi Ibrahim."

Dalam hadis ini, walaupun Nabi s.a.w. berbeza pandangan dengan Quraisy tentang pembinaan semula Kaabah mengikut asas nabi Ibrahim a.s., Nabi s.a.w. tidak meneruskan hasrat dan pandangan baginda tersebut. Ini kerana ia boleh menyebabkan Quraisy yang baru masuk Islam menjauhi dan lari daripada agamanya. Rasulullah s.a.w. menghindarkan perpecahan dan perbalahan dalam masyarakat Quraisy dengan berpegang kepada pandangan mereka, bukan pandangan baginda sendiri.

Walaupun tujuan penganjuran "I Want to Touch a Dog" adalah baik iaitu untuk membantu mengatasi rasa takut terhadap anjing dan mendidik orang ramai tentang pengamalan kebersihan tetapi kerosakan dan mafsadah yang terhasil lebih besar berbanding kebaikan tersebut.

Masyarakat muslim dibimbangi akan terdorong menjadikan anjing jenis tertentu sebagai haiwan peliharaan manjaan untuk dibelai, dicium dan dipeluk sedangkan ia ditegah dalam Islam dengan ancaman berkurangnya pahala orang yang memeliharanya setiap hari satu qirath.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis Nabi s.a.w bermaksud: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari."

Perlu dijelaskan bahawa semua mazhab dalam Islam bersepakat bahawa memelihara anjing untuk tujuan pemburuan atau untuk menjaga harta, tanaman dan ternakan adalah harus. Begitu juga diharuskan untuk menyentuhnya bagi tujuan merawat dan perkara-perkara yang diperlukan berdasarkan panduan syarak.

Oleh kerana itu, penganjuran menyentuh anjing ini adalah lebih baik dibuat secara tertutup dan khusus kepada pihak-pihak tertentu yang banyak terlibat dengan haiwan ini seperti kepada veterinar, animal rescuer, penjaga zoo dan lain-lain.  

Penulis ialah Pengarah Operasi Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh Dewan Ulamak PAS Pusat.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Jelas dan mudah faham. Tahniah atas pencerahan ini