"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki tertelan cecair vape, budak sawan 2 kali

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun mungkin mengalami keracunan nikotin akut dipercayai tertelan cecair peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang pada 30 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan, memaklumkan mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.

“Kanak-kanak ini dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan. Terkini, keadaan pesakit adalah stabil dan bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan dipantau oleh pihak hospital,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, pada hari kejadian, mangsa yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik ditemui datuknya dalam keadaan batuk, muntah serta sesak nafas dan terdapat peranti rokok elektronik jenis pakai buang berhampiran mangsa.

“Kanak-Kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

Kenyataan itu menyebut pada mulanya kejadian tersebut dilaporkan sebagai kemungkinan kes kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan rokok elektronik (Evali) namun hasil penemuan klinikal mendapati ia tidak memenuhi kriteria Evali.

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi. Peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak tersebut disahkan menghidapi “Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure”.

Justeru, KKM menasihati orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.

“Keracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti debaran jantung atau palpitation, muntah dan sawan.

“Ia boleh terjadi kepada semua pengguna termasuk kanak-kanak. Kesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang terutama kepada kanak-kanak akan menyebabkan pertumbuhan otak terjejas,” katanya.

Tiada ulasan: