"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS abai legasi Nik Aziz

Hasmi Hashim

Pada hari keputeraan Yang Di-Pertuan Agong tempoh hari, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran Tan Sri. Bintang berkenaan dikurniakan hanya enam bulan selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Apakan daya, Nik Aziz tidak dapat melihat dengan mata kepalanya, Anwar mengangkat sumpah sebagai PM ke-10. Beliau meninggal dunia pada 12 Februari, lapan tahun lalu.

Sejak tercetusnya gerakan Reformasi 1998, sokongan dan doa allahyarham kepada Anwar tidak putus-putus. Beliau dengan mudah boleh membezakan antara PM Mahathir Mohamad yang mengapalai negara selama 22 tahun, dengan Anwar. Bezanya ibarat kaca dengan permata; umpama batu dengan intan.

Sepanjang hayatnya, Nik Aziz tidak pernah teragak-agak untuk mengkritik atau merasa sedikit pun gementar dalam berhadapan dengan Mahathir. Sedangkan kuasa, pengaruh dan dana yang dikawal oleh Mahathir jauh lebih besar ketimbang kerajaan Kelantan yang miskin.

Sesiapa pun yang menyemak sejarah hubungan Mahathir dengan Kelantan pasti dapat melihat dengan jelas kisah Mahathir menganiayai negeri berkenaan. Kelantan dianaktirikan oleh Mahathir dengan tiada sebab lain, melainkan politik dendam serta rasa geram Mahathir terhadap tok guru Nik Aziz.

Ketika itu keutamaan Nik Aziz sebagai menteri besar bukanlah membeli kereta jenama mewah buat dirinya—memang jauh sekali dengan ciri-ciri pentadbiran PAS di Kelantan sekarang ini. Nik Aziz juga tidak pernah mendapat sesen pun wang bantuan apatah lagi honorarium petroleum daripada Mahathir.

Dalam keadaan serba ditekan, Nik Aziz cekal bertahan. Sehingga ke hujung nafasnya.

Legasi yang ditinggalkan oleh Nik Aziz itu nampaknya tidak hormati oleh PAS sendiri. Dalam keadaan tertentu, nama allahyarham juga tidak dikenal serta seakan mahu dipadam—jauh sekali untuk memberikan penghormatan negara kepadanya.

PAS bukannya tidak pernah berada di dalam kerajaan persekutuan. Sekurang-kurangnya dua kali kesempatan PAS bersama kerajaan di Putrajaya iaitu di bawah PM Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri. Sepanjang tempoh itu juga, PAS langsung tidak pernah dan tidak berniat menganugerahkan Nik Aziz dengan sebarang penghormataan kenegaraan.

Yang tergila-gila ingin menaik-taraf bintang di dada adalah Abdul Hadi Awang. Daripada sebelumnya bergelar Datuk Seri, sekarang sudah mempunyai pingat yang sama bergelar Tan Sri. Hebatnya presiden PAS itu, tidak terperi.

Tidak ramai ahli-ahli politik yang masih hidup menyandang gelaran berkenaan. Ada beberapa orang sahaja seperti Annuar Musa, Noh Omar, Muhyiddin dan Abdul Hadi sendiri. Mungkin dengan gelaran Tan Sri, barulah Abdul Hadi setaraf Muhyiddin yang juga seorang presiden parti. Maklumlah semua Tan Sri-Tan Sri itu kini sudah berada di dalam parti dan gabungan politik yang sama.

Senyap-senyap, secara psikologi kita boleh mengesan wujudnya politik cemburu di dalam diri Abdul Hadi. Kecemburuan itu bukan sahaja menghala di lawan politiknya seperti Anwar, tetapi juga ke arah pimpinan terdahulu daripada partinya sendiri, termasuklah kepada allahyarham Nik Aziz. Oleh kerana mereka separti, maka sukar atau tiada modal untuk Abdul Hadi terang-terangan menentang Nik Aziz.

Di hujung hayatnya, pergeseran Nik Aziz dengan Abdul Hadi juga bukan rahsia. Abdul Hadi selalu mengambil sikap yang bertentangan dengan Nik Aziz, terutama dalam menjaga hubungan dengan Anwar dan parti-parti pembangkang yang lain—termasuklah PKR dan DAP.

Setelah Nik Aziz tiada, Abdul Hadi dengan begitu mudah dapat mengheret PAS untuk bekerjasama dengan Mahathir. Bahkan dengan bangga, Abdul Hadi datang bertongkat ke rumah Mahathir untuk semata-mata menandatangani sekeping proklamasi yang muncul dari bawah buluh betong.

Saya katanya proklmasi itu “muncul dari bawah buluh betong” kerana tak ada hujan tak ada ribut, alih-alih Mahathir secara seorang diri menuliskan sekeping proklamasi yang kononnya mewakili orang Melayu.

Sesebuah proklmasi yang ingin mengatasnamai orang Melayu, lazimnya terhasilkan daripada perhimpunan, kongres dan konvensyen yang menghimpunkan parti-parti politik atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara. Dari sanalah baru boleh dikatakan sebuah proklamasi terhasil.

Ini tidak! Mahathir sendiri yang menulisnya, mungkin di meja makan rumah, sambil minum-minum seorang diri, dan dalam lima ke 10 minit kemudian, dia menamakan karangannya sendiri sebagai “proklamasi orang Melayu”. Lebih menambah gila, Abdul Hadi yang mewakili PAS yang berpimpin untuk menandatanganinya.

Elok proklamasi berkenaan dinamakan sebagai “Proklamasi Meja Makan Mahathir” sahaja. Ia tidak ada kena mengena dengan orang Melayu! Langsung tak ada!

Ini bukan pertama kali Abdul Hadi ingin berpasangan dengan Mahathir. Sebelum pengkhianatan Langkah Sheraton, beliau juga bersama menyokong Kongres Maruah Melayu pada 2019 yang entah apa hasilnya—melainkan ini menjadi permulaan untuk menyekat Anwar daripada diangkat sebagai PM.

Mungkin Abdul Hadi percaya, hanya Mahathir yang boleh menyekat Anwar sebelum Anwar menjadi PM, atau; hanya Mahathir juga yang boleh menjatuhkan Anwar apabila Anwar sudah menjadi PM. Lantas alasan agama dan bangsa pun digunakan. Macam selalu, macam sejak dulu-dulu.

Kerjasama Abdul Hadi-Mahathir sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kepentingan agama dan bangsa. Penyatu keduanya memang jelas berasaskan politik benci dan dendam terhadap Anwar. Semudah dan sedangkal itu sahaja. Titik.

Demi Mahathir, malah Abdul Hadi juga sanggup mengenepikan sensitiviti anggota dan pengikut PAS yang sangat terkesan dengan perbuatan yang tidak berhati perut Mahathir sekian lama. Antara yang paling diingati ialah peristiwa berdarah Memali pada 1985 yang mengorbankan 14 jiwa.

Turut terkorban ialah pemimpin dan pendukung PAS seperti ustaz Ibrahim Libya. Kesemua mereka kemudian difatwakan sebagai syahid oleh PAS dan Abdul Hadi sendiri. Sekarang, apakah para syuhada yang terkorban itu bertukar menjadi hanya “mati katak” sepertimana yang berkali-kali diungkapkan oleh Mahathir?

Tidakkah Abdul Hadi sendiri membayangkan, kalaulah beliau yang ikut terkorban… bagaimanakah perasaan isteri, anak-anak dan cucu-cicitnya apabila hari ini ada pemimpin PAS yang lain bersama dengan Mahathir?

Kalau Abdul Hadi sering menuduh PH mengamalkan “politik pragmatik”—dan ia konon bertentangan dengan Islam—nampaknya politik PAS kini jauh lebih pragmatik dan melampaui semua ajaran apa-apa agama sekalipun.

Mahathir justeru tidak pernah berubah. Yang berubah adalah PAS. PAS yang dahulu bergerak atas fikrah Nik Aziz, kini bergerak di atas landasan ideologi Mahathirisme pula—matlamat menghalalkan cara.

Legasi Nik Aziz jelas diabaikan oleh PAS sendiri. Dengan mengurniakan darjah kebesaran pada Hari Keputeraaan Yang di-Pertuan Agong, legasi dan fikrah allahyarham Nik Aziz sekarang sedang dihidupkan semula di dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Anwar.

Sementara bersahabat dengan Mahathir, Abdul Hadi merasakan dia sedang membawa PAS melawan ‘musuh Islam’ iaitu PH secara habis-habisan. Akan tetapi, Abdul Hadi mungkin salah congak, PAS zamannya sekarang masih bertarung dengan PAS era allahyarham Nik Aziz. PAS Abdul Hadi kini sedang menentang seluruh sejarah yang ditinggalkan para pemimpin ulung PAS di masa lalu.

Di samping itu Mahathir tidak peduli. Dia boleh terus ketawa melihat Abdul Hadi yang puluhan tahun dapat ditindas, kini diperguna pula—seorang presiden parti agama yang kelak bakal dikenang kerana kalah dengan ‘sesuatu’ yang membuak-buak di dalam diri sendiri.

Al-Fatihah kita sedekahkan kepada allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pejuang sejati.

Tiada ulasan: