Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Indonesia
MOHD YUNUS YAKKUB

Dua tertuduh berkenaan ketika dibawa ke Mahkamah Klang, hari ini.
KLANG – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia, tiga minggu lalu.
Muhd. Asnawi Ghazali, 37, dan Musa Ramli, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Zubaidah Mahat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berikutan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas dikenali sebagai Kutek didakwa membunuh Suherman, 47, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Telok Gong, di sini kira-kira pukul 6.30 pagi, 6 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 27 November depan.
Kosmo! difahamkan, perbuatan membunuh tersebut dilakukan dengan cara menyimbah petrol terhadap mangsa sebelum membakarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan