"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perlu ada garis panduan takrif siapa ulama dan profesional

Perlu ada garis panduan takrif siapa ulama dan profesional
Salmah Mat Husain  

PENGKALAN CHEPA, 3 Mei (Hrkh) - PAS Pusat dicadang mengeluarkan garis panduan secara jelas berhubung pengertian ulama dan profesional yang menjadi perdebatan umum sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ahmad Yakob berkata, penjelasan mengenai konsep tersebut dianggap perlu bagi membolehkan ahli PAS di peringkat akar umbi dapat memahaminya.

"Ia juga boleh memberi panduan kepada perwakilan dari seluruh negara pada muktamar nanti mengenai pengertian golongan ulama dan profesional dalam erti kata sebenar.

"Setakat ini belum ada lagi ketetapan atau peraturan bertulis berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita ketika menyambut kepulangan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada Makkah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, petang tadi.

Sebelum ini timbul perdebatan umum mengenai golongan profesional dan ulama menjelang muktamar yang akan diadakan di Shah Alam Jun depan.

Ada pihak mencadangkan jawatan nombor satu dan dua dalam PAS hanya diisikan golongan ulama. Ada juga pihak mahu profesional diberi tempat sebagai timbalan presiden.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, amat wajar sekali sekiranya garis panduan itu dikeluarkan segera.

"Lagi pun dalam PAS kita perlukan kedua-duanya sama ada golongan ulama atau profesional bagi membawa hala tuju PAS pada masa akan datang memandangkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap PAS sekarang," ujarnya.

Ditanya mengenai pencalonannya sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat beliau berkata, dirinya dianggap masih belum layak untuk menerima pencalonan tersebut.

Katanya, ulama memerlukan mereka yang benar-benar berwibawa bagi menerajui dewan tersebut.

"Saya hanya orang biasa saja, masih ramai lagi orang lain yang lebih layak," katanya. 

Tiada ulasan: