"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN Cuba Pecah-belahkan Pakatan Rakyat

Muhammad Arif Ismail

KELANA JAYA (Hrkh) - Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menempelak usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, BN berusaha untuk melaga-lagakan setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan perhimpunan malam tadi PAS menempelak tohmahan yang dilemparkan oleh parti pemerintah itu.

"Perhimpunan ini juga menjadi bukti perpaduan dalam Pakatan Rakyat masih kuat dan saya mengucapkan terima kasih kerana kehadiran saudara dan saudari pada malam ini ke dalam satu majlis perhimpunan ini untuk menunjukkan betapa Pakatan Rakyat dapat melakukan satu pembaharuan...perkara ini tiada dalam BN.

"Umno dan BN bergelut dengan pelbagai krisis lebih dari 20 tahun, tidak boleh selesai, termasuk krisis yang berlaku dalam parti kompenannya," katanya dalam ucapan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat semalam.

Ini katanya, menyebabkan kedudukan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti yang matang dan boleh memimpin negara serta diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negara dalam pilihanraya yang akan datang.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata ini menunjukkan bahawa BN sudah menjadi sebuah parti yang uzur, dan tidak mampu lagi untuk memimpin negara.

Menurut beliau, PAS adalah sebuah parti yang menjadikan akidah Islam sebagai pegangan, matlamat dan memperkenalkan cara perpaduan yang yang diajar oleh Islam sedangkan Umno, parti yang telah gagal menunjukkan model perpaduan yang sebenar.

Islam katanya, mengajar perpaduan untuk menegakkan keadilan, menegakkan kesaksamaan dan mengajar perpaduan di kalangan umat Islam berdasarkan hubungan akidah yang menyatukan mereka.

Beliau berucap sempena Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini semalam yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli.

Hadir sama dalam Majlis Himpunan itu ialah Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri Selangor.

Menurut Ustaz Hadi lagi beliau yakin dan percaya dengan asas perpaduan yang kukuh telah ditunjukkan dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu menyebabkan BN gagal memainkan Pakatan Rakyat.

"Malam ini kita akan buktikan kejayaan Pakatan yang berjaya mengadakan himpunan yang sangat besar ini.

"Kita harapakan perhimpunan pada malam ni dapat membrikan isyarat kepada semua rakyat untuk bersama dengan pakatan rakyat dan dalam pilihanraya umum ke 13 dan kita akan satu buat perubahan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid kerana membenarkan kita mengadakan perhimpunan di Stadium ini. Saya berani hadir untuk datang ke Selangor, kalau di Terengganu tidak mungkin saya akan hadir ke stadium," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.


Tiada ulasan: