"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR: Johari serah keputusan kepada parti

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 2 Julai (Hrkh) - "Saya terima apa saja keputusan yang diambil oleh parti dalam pertemuan antara Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Zahrin Hashim dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini," begitu reaksi bekas Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Johari Kasim.

Apa yang penting katanya, semua tindakan yang dibuat merupakan suara parti terutamanya mahukan jawatan Yang Dipertua MPSP dilantik daripada kalangan orang politik bukan lagi terdiri daripada Pegawai Tadbir Daerah (PTD).

Sebelum itu katanya, persetujuan telah diambil daripada parti untuk tujuan tersebut kerana melihat selama ini masalah antara MPSP dan Kerajaan Negeri masih berlaku lagipun jawatan YDP sudah tamat tempoh.

Menurut beliau lagi, apa yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis masih kabur dan lambat tindakan seolah ada sesuatu yang menjadi batu penghalang yang boleh mencemarkan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Contoh paling ketara ujar Johari, adalah kebersihan di taman-taman permainan, sampah sarap terbiar berhari-hari dan sebagainya.

"Kita mahukan perlantikan daripada kalangan orang politik bukan lagi PTD seperti sebelum ini. Semuanya untuk menyenangkan perhubungan antara MPSP dan Kerajaan Negeri. Dulu ada penyelewengan kita mesti buat yang baru supaya wang MPSP disalurkan ke arah yang betul," tambah beliau mempertahankan tindakanya memboikot majlis angkat sumpah Mohktar Jait sebagai YDP MPSP yang baru mengantikan Farizan Darus yang tamat tempoh dan dilantik menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri baru-baru ini.

Tegas beliau yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Air Tawar menegaskan, sepatutnya Ketua Menteri mengambil pandangan daripada semua suara dalam Pakatan Rakyat sebelum bertindak melantikan Mokhtar sebagai YDP MPSP yang baru.

Walaupun Ketua Menteri ada kuasa perlantikan namun sebagai sebuah kerajaan yang ditadbir bersama KeADILan dan PAS pandangan sebelum tindakan amat perlu untuk mengelak prasangka kurang senang di kalangan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

Pertengahan bulan lalu Johari mengetuai seramai tujuh daripada lapan orang Ahli Majlis MPSP daripada KeADILan bertindak memboikot majls angkat sumpah YDP MPSP.

Sejurus tindakan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang bertindak drastik mengarahkan beliau dipecat setelah dipersetujui dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri penghujung bulan Jun lepas.


Tiada ulasan: