Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad dijatuhi hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan didenda RM370,000 atau penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.
Hakim Noradidah Ahmad dilaporkan memutuskan demikian setelah mendapati bekas pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun bermula 9 Ogos 2003 itu melibatkan 11 orang saksi pendakwaan dan 12 orang saksi pembelaan, lapor Bernama.
Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Datuk M Kayveas, yang bertikam lidah di media dengan Abdul Kudus, antara yang memberi keterangan.
Abdul Kudus, 46, didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan