"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prof Aziz: Pas Tidak Perlu Jadi Umno Untuk Menangi Hati Rakyat / Nizar / PKFZ / Zambry

Prof Abdul Aziz Bari menggesa Pas mencari anjakan baru sekiranya ia mahu kekal relevan di mata rakyat.

Bercakap kepada lebih 1,000 perwakilan di seminar pemerkasaan Pas, Prof Aziz berkata kritikan yang dilemparkan terhadap Pas terbit dari hasratnya untuk melihat Pas muncul sebagai parti alternatif yang berwibawa.

"Pas memerlukan anjakan baru. Dalam pilihanraya akan datang, coraknya berbeza. Politik masa hadapan bukan lagi Asalkan Bukan Umno. Pemilihan isu dan ketrampilan parti menjadi kritikal dalam pilihanraya akan datang," katanya.

"Rakyat tidak akan memaafkan Pas jika ia gagal menonjolkan calon yang berwibawa. Pas berdosa kepada rakyat kalau gagal menjadi alternatif untuk rakyat," tegasnya.

Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa ini menarik perhatian umum dengan kritikan keras terhadap Pas khususnya Presiden Abdul Hadi Awang mutakhir ini, seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini semalam.

Memulakan ucapan dengan mempertahankan kritikan beliau di hadapan pimpinan Pas Pusat dan Dewan Ulamak, Prof Aziz berkata kritikannya tidak eksklusif kepada Pas, bahkan untuk Parti Keadilan Rakyat, DAP, Umno dan Barisan Nasional.

Tambah Aziz Bari, Pas harus sedar bahawa rakyat mengharapkan Pas menjadi sebuah parti arus baru, bebas dari pengaruh politik Umno.

"Di Malaysia sudah ada parti Melayu. Kalau parti yang dikatakan Islam, bercakap macam parti Melayu maka ini tidak elok untuk gerakan Islam," katanya.

"Bagaimana boleh kita kata kita bersama Pakatan Rakyat kalau tindak-tanduk kita menunjukkan sebaliknya," tegas beliau.
-tvselangor.com-

Tiada ulasan: