"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Layanan Mustafa Ali profesional - Abdul Rahman Talib

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Mac:
Sejak sekian lama mengkritik PAS secara terbuka dalam internet, Abdul Rahman Talib, 36, (gambar) petang tadi menyuarakan rasa berpuas hati dengan maklum balas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berhubung aduan salah laku disiplin beliau yang membabitkan beberapa pemimpin tertinggi dalam PAS.

“Setakat ini, saya tengok segalanya mengikut prosedur, jadi tiada sebab untuk saya tidak berpuas hati,” jelas beliau petang tadi di lobi Pejabat Agung PAS, di sini.

Beliau yang juga dikenali sebagai blogger ‘Tulang Besi’ berkata, tindakan Mustafa untuk mengetengahkan aduan-aduan tersebut kepada Dewan Mesyuarat Harian membuktikan Mustafa seorang pemimpin PAS yang profesional.

“Datuk Mustafa memberi jaminan bahawa kes ini akan dibuka dan diserahkan pada Dewan Mesyuarat Harian untuk meneruskan (perbicaraan) atau tidak.

“Bagi saya, (Mustafa) seorang pemimpin PAS yang begitu terbuka, tidak seperti pemimpin PAS tertentu yang selalu marah kepada blogger-blogger seperti saya,” jelasnya.

Menurut pemilik blog Malaysia Waves, http://www.malaysiawaves.com itu lagi, selama lebih 45 minit berdepan dengan Mustafa bersama-sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Kerja I PAS, Haji Abdul Rahim Saidin, beliau diminta menjelaskan motif di sebalik aduan-aduan yang dibuatnya itu.

Menjawab pertanyaan tersebut, beliau menegaskan bahawa tujuan beliau membuat beberapa aduan-aduan tersebut demi memelihara nama baik Islam dan PAS sendiri.

“Tujuan saya buat laporan ini bukan (bersifat) peribadi, tapi semata-mata kerana sayang parti (PAS),” jelasnya.

“Yang penting adalah jangan PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak boleh dipercayai (dan) jika PAS mula tidak dipercayai, imej PAS hancur dan imej Islam juga hancur.”

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Disiplin PAS supaya melaksanakan hak-hak keadilan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan PAS.

Tambahnya lagi, dengan melaksanakan hukuman secara adil kepada pemimpin-pemimpin yang sah didapati bersalah, secara automatik mampu menjadi pengajaran kepada ahli-ahli PAS yang lain.

Pada 12 Februari lalu, Abdul Rahman mendakwa Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali mendedahkan bai’ah taalik, yang dianggap rahsia parti.

Dr Hassan juga didakwa mendedahkan rahsia-rahsia tertentu tentang PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam suatu majlis pertemuan blogger, termasuk blogger-blogger pro Umno.

Manakala, Timbalan Presiden PAS pula didakwa membelakangkan ketetapan PAS yang membenarkan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan menyertai perhimpunan ‘anti kalimah’ bersama-sama 64 badan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat pro Umno.

Di samping itu, anggota Majis Syura Ulama turut diminta memberi penjelasan berhubung kertas kerja ‘tahalluf siyasi’ yang menghalalkan PAS bergabung dengan Umno dua tahun yang lalu.

Tiada ulasan: