Hadirnya merentas sejarah lampau, menuras kebenaran yang bergelumang pada kepalsuan ciptaan. Dalam kaya jiwa sastera, luahan bicara dan sanjungannya bagaikan rintihan rasa yang terpendam sekian lama. Lantaran sifat pejuang sejati, maka dituntutnya agar maruah tercalar segera disucikan sedang dosa itu tidak harus dilupakan.
Demikian ekspresi dizahirkan Sasterawan Negara, Dato' (Dr) A Samad Said pada kunjungannya ke lokasi-lokasi penting sejarah Peristiwa Memali, 10 Mac baru-baru ini.
Sebaik menjejakkan kaki ke dalam rumah as-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud di Kampung Memali, matanya tertumpu kepada potret tokoh syuhada itu. Beliau yang mesra dengan panggilan 'Pak Samad' mengakui kali pertama melihat gambar tersebut.
Pengkisahan oleh balu-balu syuhada yang hadir petang itu membawa Pak Samad menghayati semula peristiwa kejadian tersebut dan ada ketikanya beliau melontarkan pertanyaan. Dari keyakinan beliau pada sisi kebenaran peristiwa tersebut, timbul gesaan supaya pembelaan sewajarnya diberikan terhadap persepsi sejarah, mangsa kejadian dan imej lokasi itu.
"Tidak harus berakhir dengan pampasan. Dia (Ustaz Ibrahim) dituduh membawa ajaran sesat, dituduh macam-macam yang memburukkan dia. Jadi, kerajaan mesti mengumumkan, kerajaan mesti membetulkan semula tuduhan mengatakan mereka ini (para syuhada) membawa ajaran sesat.
"Jika tidak, sejarah akan terus meletakkan Ustaz Ibrahim (sebagai) membawa ajaran sesat, penentang dan sebagainya.
"Bukan itu sahaja, nama kampung ini (Kampung Memali) juga akan tercemar dan terus dianggap begitu," ujar beliau yang menyifatkan kedatangannya itu sebagai kunjungan mengharukan serta berharap kejernihan sejarah itu kelak akan mewaraskan keadaan.
Sempena kunjungan tersebut, balu as-Syahid Ustaz Ibrahim iaitu Solehah Husin menghadiahkan Pak Samad beberapa naskhah buku berkaitan sejarah Peristiwa Memali. Pak Samad juga tertarik melihat kelongsong bom asap peristiwa tahun 1985 itu yang masih disimpan Solehah sekaligus mengenangkannya kepada Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Beliau yang ditemani isteri, Datin Rashidah Md Dahan dan Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim kemudiannya ke Parit Panjang menziarahi makam para syuhada Memali. Satu demi satu batu nisan di makam itu dipegang beliau sambil membaca surah Fatihah.
Terdahulu, sebaik tiba di Kedah bermusafir menaiki keretapi dari Kuala Lumpur pada pagi itu, beliau telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama Taufikiah al-Khairiah al-Halimiah, Padang Lumat yang lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya menyampaikan motivasi kepada para pelajar sekolah tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar menjadi insan yang merenjiskan kebahagiaan kepada manusia lain. Beliau juga mahu pelbagai kekayaan negara ini dimanfaatkan untuk kemakmuran rakyat negara ini.
Menyentuh mengenai Bahasa Melayu, beliau mahu bahasa yang belum dimartabatkan ini terus dipertahankan. Tegasnya, Bahasa Melayu adalah jati diri negara dan beliau yakin sekolah agama adalah pusat pemeliharaan, pemulihan dan penyuburan serta benteng terakhir untuk tujuan itu. Selain itu beliau menyatakan bahawa Bahasa Arab juga perlu didampingi sebagai bahasa rohani dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa duniawi.
Pak Samad telah menyumbangkan buku yang menghimpunkan semua karya sastera beliau kepada sekolah itu dan diterima oleh Pengetuanya, Ustazah Azizah Yahaya.
Pada tengah harinya, Pak Samad di bawa berkelah makan tengah hari di bawah rimbunan pokok buluh tepi sungai di Kampung Becah Sawa yang turut dihadiri Ketua Penerangan PAS Kawasan Baling, Ustaz Mat Juki Ahmad.
Pelbagai lauk pauk dibawa kaum ibu yang dipelawa menyertai perkelahan itu. Memandangkan beliau tokoh negara pertama yang datang ke tempat itu, penduduk meluahkan hasrat menamakan kawasan tepi sungai itu sebagai 'Dataran Dato' A Samad Said' dan beliau nyata berbesar hati menerima hasrat tersebut.
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan