"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DHPP: Hujah profesor pro Umno BN dangkal

IH
Seorang ahli akademik yang terkenal dengan komen-komen yang pro Umno BN baru-baru ini telah memberi beberapa ulasan negatif berkaitan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Beliau berhujah, PAS telah lari daripada matlamat penubuhannya apabila menubuhkan DHPP. Alasannya, PAS boleh saja mendapatkan pandangan bukan Islam tanpa melalui DHPP. Tambahnya lagi, jika masyarakat bukan Islam boleh menganggotai DHPP, maka orang Islam juga boleh menjadi ahli DAP.

Sebenarnya sebagai individu yang ketara pro Umno BN, ulasan beliau bukanlah sesuatu yang pelik. Sudah tentu beliau akan sedaya upaya memberi hujah yang dirasakan boleh menjejaskan imej PAS dan PR di samping cuba menambah kredit untuk Umno BN. Malangnya sebagai seorang ahli akademik bertaraf profesor, hujah dan alasan yang dinyatakan beliau dilihat kurang bernas dan agak dangkal.

Ternyata setelah sekian lama mengikuti perkembangan parti-parti politik negara, beliau masih belum memahami atau buat-buat tidak faham dasar perjuangan PAS dalam kerangka yang lebih luas. Ulasan beliau yang senada dengan pemimpin-pemimpin Umno BN menyerlahkan tanggapan mereka bahawa perjuangan PAS hanyalah seperti mereka yang ingin berkuasa selama-lamanya di dunia dan merebut segala peluang yang terhidang tanpa perhitungan halal haram. Natijah di akhirat tidak perlu dipertimbangkan.

Perjuangan PAS sepertimana yang sering ditegaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukanlah sekadar merebut kuasa. PAS hadir dalam politik tanah air kerana tiada kesungguhan pihak Umno BN untuk memartabatkan Islam mengikut kehendak Allah dan Rasul. Akibatnya kesyumulan dan keindahan Islam gagal diterjemahkan ke dalam kehidupan rakyat.

Setelah lebih 50 tahun merdeka, orang-orang bukan Islam tidak merasakan keistimewaan ajaran Islam terhadap kehidupan mereka. Jika orang bukan Islam minum arak, maka pemimpin-pemimpin Umno BN lebih kuat lagi meminumnya. Jika orang bukan Islam berjudi, pemimpin-pemimpin Umno BN berjudi hingga bergolok bergadai.

Lantaran itu PAS diwujudkan sebagai wadah yang mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk menentang segala kemungkaran Umno BN.

Komitmen PAS yang tinggi untuk menjadikan kehidupan rakyat sejahtera berdasarkan keindahan Islam telah mendorong masyarakat bukan Islam bersama-sama PAS dalam menjayakan usaha murni ini. Ini diperakui oleh pengerusi DHPP sendiri. Sebagai menghargai komitmen bukan Islam terhadap perjuangan PAS sudah tentulah cara yang terbaik dengan menerima mereka menjadi sebahagian dari ahli keluarga PAS. Dengan itu segala usaha ke arah membimbing dan menjaga kemaslahatan mereka dapat dilakukan dengan lebih kemas dan tersusun. Langkah ini pasti akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Memandangkan untuk menjadi ahli PAS seseorang individu mestilah muslim, maka tindakan PAS menubuhkan DHPP adalah satu langkah yang tepat bagi mengatasi masalah-masalah teknikal yang menjadi penghalang kepada cita-cita ini. Sedangkan bagi DAP mereka tidak perlu melaksanakan perkara yang sama jika ingin menarik ahli dari kalangan orang Islam kerana perlembagaan parti membenarkannya. Malahan sudah ramai orang Melayu beragama Islam yang telah menjadi ahli DAP dan memegang jawatan dalam parti, tetapi perkara ini seolah-olah tidak dapat dilihat oleh penyokong Umno BN sehingga membuat ulasan yang kurang tepat.

Justeru, ulasan-ulasan oleh para pendokong Umno BN ini dilihat sebagai luahan rasa bimbang mereka terhadap pengaruh PAS yang terus berkembang dalam persada politik negara di samping cuba melaga-lagakan kepimpinan PR yang semakin teguh berpadu kini.

IH,
Southern City, Johor.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: