Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendesak agar kerajaan menjelaskan rasional perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi perisik Amerika, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) serta sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada agensi tersebut.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan persidangan yang diadakan di Malaysia yang melibatkan agensi antarabangsa yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika.
Jelasnya, dua agensi paling berkuasa di Amerika itu terkenal sebagai agensi yang merosakkan hak individu, hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin yang semuanya dilakukan atas nama keselamatan nasional.
"Sejarah Amerika sarat dengan skandal yang dikaitkan dengan dua agensi ini termasuk insiden asasinasi Kennedy, kegagalan membunuh Fidel Castro; bom Oklahoma City; pembunuhan beramai Waco Texas dan 911.
"Kami amat kesal dengan maklumat, rupanya Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan betapa perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen," tegasnya kepada Harakah.
Sehubungan itu beliau berkata, tidak ada gunanya kerajaan mendakwa Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan kuasa perisik Amerika yang mempuyai agenda untuk mengawal pengurusan keselamatan negara.
Menurut Mohd Azmi lagi, maklumat mengenai persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 18 hingga 23 Julai ini diperolehi dari laman sawang FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh Presidennya, SAC I Dato' Shahbudin Abdul Wahab. Laman tersebut mendedahkan perhubungan FBI National Academy Associates dengan PDRM bermula 1964 bila SAC Kassim Ali menghadiri sessi FBI NAA itu buat kali ke 74.
Sejak itu katanya 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa dan antara yang turut hadir ialah Tun Haniff Omar, bekas Ketua Polis Negara, kecuali 16 orang, yang lain dikatakan sudah bersara. SAC Dato’ Shabudin mengatakan dalam kata-kata aluannya, persidangan itu disebut sebagai simbol kuasa dan hubungan rapat yang dapat dijalinkan dengan PDRM melalui FBI NAA Asia Pasifik.
Difahamkan persidangan ini ditaja oleh pihak-pihak seperti Resorts World Genting, Labuan Financial Services Authority, Yasmin Teknologi Sdn Bhd, i2 Group dan TAIT Radio Communications. Turut terlibat ialah Visual Analysis, Financial Park Labuan Sdn Bhd, Public Bank Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Tourism Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan