"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saringan akhir peserta Ramadhan di Gaza esok

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 Julai:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sedang menjalankan proses akhir penyaringan peserta yang mendaftar untuk menyertai misi Ramadhan di Gaza (Radig) yang dijangka berlepas pada awal Ramadhan ini.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid
(gambar) yang akan mengetuai delegasi Radig memberitahu, hanya 40 orang yang akan dipilih untuk menyertai misi berkenaan daripada 600 senarai nama yang diterima pihaknya.

Katanya, esok merupakan tarikh akhir proses penyaringan peserta.

"Kita sedang menyenarai pendek sebanyak 600 nama yang kita terima kepada 40 orang dan esok merupakan tarikh akhir untuk kita membuat pemilihan.

"Proses saringan kita lakukan dengan melakukan temuduga, ada yang kita jumpa sendiri dan ada yang kita telefon. Ada juga yang tidak dapat hadir masa temuduga tersebut. Jadi esok kita akan tentukan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Esok, Mapim akan mengadakan taklimat berhubung Radig termasuk mengumumkan senarai akhir individu yang terpilih untuk menyertai misi berkenaan, dan usaha-uasaha yang akan dilakukan mereka sepanjang mengikuti Radig.

Beliau juga memberitahu, peserta dipilih berdasarkan beberapa kriteria dan yang paling ditekankan ialah kesungguhan untuk memberikan masa dan tenaga bagi misi berkenaan selain daripada kesihatan fizikal, mental, dan kekuatan emosi dan spiritual untuk menghadapi sebarang risiko sepanjang misi berjalan.

Mapim juga menitikberatkan syarat-syarat dari sudut akhlak dan keperibadian mereka yang ingin menyertai misi ini.

"Kita juga melihat kepada kemahiran dan kepakaran seseorang itu kerana masing-masing akan diberi tugas mengikiu kemahiran mereka. Contohnya jika mereka mempunyai kemahiran dalam mendidik, kita akan serapkan untuk projek pembangunan semula sekolah di Gaza," jelasnya.

Menyentuh mengenai dana, beliau memberitahu, Mapim telah berjaya mengumpul kira-kira RM100 ribu hasil sumbangan orang ramai dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya RM500 ribu sebelum berlepas ke Gaza.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mapim sedang menghubungi pihak berkuasa di Gaza untuk membina hospital kanak-kanak di sana dan persetujuan lisan telah pun diperoleh.

Selain itu, pihaknya juga menghubungi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sekretariat Asean, Wisma Putra dan kerajaan Mesir bagi melancarkan perjalanan misi berkenaan.

"Setakat ini kita belum mendapat jawapan secara rasmi tapi kita masih menghubungi melalui surat agar mereka dapat memberikan laluan yang lancar untuk kita masuk ke Gaza," katanya.

Sebelum ini, Mapim telah menganjurkan Latihan A to Z of Palestin bagi membentuk dan mendaftar sebagai relawan Palestin dan Al-Quds yang berketrampilan.

Setakat ini, tiga wakil media sudah mengesahkan untuk mengikuti misi berkenaan selain sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tiada ulasan: