BN belum memutuskan calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana menteri berkata, perkara itu telah dibincangkan "tetapi keputusan akan dibuat kemudian".
Beliau memberitahu pemberita demikian di lobi Parlimen ketika ditanya
sama ada Tengku Razaleigh Hamzah (kanan) akan menjadi calon BN di Galas.
Najib juga secara rasminya mengumumkan Tengku Razaleigh, yang juga ahli parlimen Gua Musang, akan mengetuai jentera pilihan raya BN di Galas.
Menurutnya, surat yang memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenainya. telahpun dihantar.
Sehubungan itu, Najib yang mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh pagi ini berkata, jentera pusat akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Tengku Razaleigh.
Tengku Razaleigh sebelumnya telah bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya kecil BN di DUN Galas yang akan berlangsung pada 4 November ini.
Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.
Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan