"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis terus buru saki baki perompak remaja

Polis masih menjalankan siasatan kemungkinan terdapat saki baki 'Geng Minyak' iaitu kumpulan perompak remaja yang melakukan jenayah rompakan membabitkan stesen minyak di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata berdasarkan siasatan, kumpulan penjenayah itu didapati melakukan tiga rompakan dalam tempoh lima hari sejak 9 Nov dengan yang terbaru Sabtu lalu.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tiga anggota kumpulan itu yang berusia antara 16 dan 22 tahun ditembak mati apabila bertindak menyerang polis dengan parang di Jalan Kerjaya, Glenmarie selepas menyamun sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 pada jam 4.15 pagi.

"Selain kejadian terbaru di Seksyen U1 Sabtu lalu, geng yang sama turut terbabit dalam kes di Seksyen U16 pada 9 Nov dan Jalan Subang Lama pada 12 Nov iaitu sehari sebelum mereka ditembak," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Noor Azam berkata geng itu dipercayai hanya memilih stesen minyak yang berada di kawasan sunyi dan tidak beroperasi selain menjalankan kegiatan mereka antara jam 2 pagi dan 4 pagi.

Beliau berkata polis juga masih menyiasat kemungkinan geng yang sama turut terbabit dalam siri rompakan membabitkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55102222.
-Bernama-

Tiada ulasan: