KULIM: Seorang wanita yang pulang bercuti setelah dua minggu berpindah dari sini ke Kuala Lumpur terbunuh sementara ibunya cedera dalam satu kejadian rompakan oleh tiga lelaki di sebuah rumah banglo di Kampung Keladi, di sini awal pagi Ahad.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kedah Supritendan Law Tiang Huat, Norjaniati Mohd Isa, 40, ditemui terlentang dengan kesan luka di muka dan telah meninggal dunia.
Ibu wanita itu, Fatimah Abu Bakar, 70, yang lebam di muka dimasukkan ke Hospital Kulim untuk diberi rawatan. Keadaan warga emas itu stabil, katanya.
Beliau berkata sebaik menerima panggilan kira-kira 5 pagi ini, sepasukan anggota polis Kulim berkejar ke tempat kejadian.
"Polis percaya tiga lelaki bersenjatakan senjata tumpul menceroboh masuk rumah dua tingkat itu dengan mengumpil jeriji besi pintu tingkat bawah," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Law berkata dua lagi ahli keluarga itu, Muliati, 45, dan anak lelakinya, Mohd Syamsul Ismail, 16, tidak dipengapakan dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu.
Polis yakin mangsa bergelut dengan perompak tersebut menyebabkan dia dibunuh. Barang kemas wanita itu dan ibunya serta telefon bimbit mangsa juga lesap.
Mayat Norjaniati dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat pada 10 pagi ini, katanya.
Abang ipar Norjaniati, Abdul Rashid Awang, 59, berkata adik iparnya mengikuti suami beliau, Khairuddin Jamaluddin, 36, kakitangan sebuah firmajuruukur berlesen berpindah setelah ditukarkan ke Kuala Lumpur awal bulan ini.
"Setelah dua minggu di Kuala Lumpur, dia pulang menziarahi keluarganya tetapi tidak sangka perkara ini akan berlaku," kata Abdul Rashid semasa ditemui di tempat kejadian.
Menurut Law kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan