"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GRO remaja rupanya lelaki

MELAKA: Seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) yang dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Melaka Raya, di sini, malam kelmarin rupanya remaja lelaki.
Remaja berusia 23 tahun itu berpakaian seperti wanita dan dikatakan baru berjinak-jinak dengan kerjaya sebagai GRO.

Dia ditahan dalam serbuan dilakukan bersama Bahagian Penguat kuasa JAIM dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sebuah pusat hiburan sekitar kawasan Taman Melaka Raya, di sini.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, ketika ditahan, remaja terbabit sedang leka melayan beberapa pelanggan di dalam sebuah bilik khas di dalam pusat hiburan berkenaan.

“Ketika disoal siasat dan diperiksa identitinya, kita dapati remaja terbabit sebenarnya seorang lelaki tetapi berpakaian seperti perempuan dan menjolok mata.

“Dia ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berpakaian kurang sopan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Dalam operasi berkenaan, Rahimin berkata, seramai 15 wanita berusia dari 19 hingga 30 tahun turut ditahan mengikut seksyen sama kerana berpakaian kurang sopan.

Menurutnya, sebanyak enam premis diperiksa di kawasan terbabit sebagai langkah mencegah gejala maksiat menjelang Ramadan.

“Kita kesal kerana seolah-olah sudah menjadi trend remaja yang ditahan mengunjungi pusat hiburan, biarpun kini sudah menghampiri Ramadan.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan kita mengharapkan kerjasama ibu bapa supaya mengawasi anak-anak supaya jangan terjebak dengan gejala ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 25 anggota termasuk kakitangan penguat kuasa MBMB terlibat dalam operasi bermula kira-kira 11 malam dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

Menurutnya, mereka yang ditahan akan menjalani soal sesi siasat di pejabat JAIM selasa ini.
-sinarharian-

Tiada ulasan: