"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Iran terselamat hukuman dibuta mata

TEHERAN: Seorang lelaki Iran yang dituduh menyimbah asid ke wajah pelajar wanita dan matanya patut dibutakan sebagai hukuman, dimaafkan mangsanya, kata laman web televisyen kerajaan, semalam.

“Dengan permintaan Ameneh Bahrami, penyerang, Majid (Movahedi) yang dihukum qisas (hukuman setimpal) dimaafkan pada saat akhir selepas Ameneh membuat keputusan itu.

Majid dihukum supaya kedua-dua belah matanya dibutakan pada Februari 2009 selepas didapati bersalah menyimbah asid ke wajah rakan sekelasnya di universiti, Ameneh berikutan wanita itu berulang kali menolak lamarannya.

Mahkamah mengarahkan hukuman membutakan mata Majid ditangguh pada detik akhir pertengahan Mei lalu tanpa sebarang alasan. Ameneh memberitahu agensi berita ISNA, dia memaafkan penyerangnya kerana Tuhan berbicara mengenai qisas di dalam al-Quran tetapi Tuhan juga menyarankan supaya memberi kemaafan kerana kemaafan itu jauh lebih baik daripada qisas.

“Saya berjuang selama tujuh tahun untuk mendapatkan keadilan bagi membuktikan supaya orang yang menyimbah saya dengan asid perlu dihukum qisas, tetapi hari ini, saya memaafkannya kerana saya berhak berbuat demikian.

“Saya melakukannya untuk negara saya memandangkan semua negara asing ingin mengetahui apa yang berlaku dalam negara kami,” katanya. Bagaimanapun, pendakwa raya Abbas Jafari Dolatabadi membantah keputusan Ameneh itu dan berkata, mahkamah perlu menjalankan hukuman dijatuhkan. 
-AFP/hmetro-

Tiada ulasan: