Aslani
KOTA BHARU, 1 Ogos: Pengakuan Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) boleh memanipulasi undi sekiranya ingin menang pada pilihan raya umum 2004 di Kelantan menjelaskan pekung sebenar.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff melahirkan rasa bimbang di atas kenyataan tesebut yang dibuat seorang pemimpin tertinggi negara.
Menurutnya pengakuan yang dibuat secara terbuka tersebut membayangkan pemerintah terdedah kepada manipulasi pilihan raya memandangkan mereka mempunyai kuasa eksekutif.
Perdana Menteri dalam laporan sebuah akhbar hari ini mendakwa BN boleh menawan Kelantan pada pilihan raya umum 2004 sekiranya diadakan dengan tidak adil.
“Mudah untuk BN memanipulasikan undi, namun tidak mahu berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil,” katanya.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengakuan itu sangat mengejutkan kerana dilafazkan Datuk Seri Najib Razak.
“Ia merupakan satu kenyataan yang merbahaya dan membayangkan hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam negara ini.
“Jika benar BN boleh memanipulasi undi, kami ingin bertanya setakat manakah mereka mampu melakukannya? Adakah siri kemenangan pemerintah dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil turut berpunca daripada manipulasi,” katanya di sini.
Fadhli berkata, kenyataan Perdana Menteri tersebut membayangkan beliau mengakui BN mampu memanipulasi undi sekali pun tidak mengaku mereka telah melakukannya.
“Adakah kemenangan Najib di kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti 22,922 undi pada pilihanraya umum 2004 berlaku manipulasi kerana beliau hanya menang kelebihan 241 undi pada 1999.
“Ini secara tidak langsung mengesahkan dakwaan Bersih 2.0 sistem pilihanraya di negara ini telah dicemari pelbagai isu,” ujarnya.
Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 berjaya menghimpunkan ratusan ribu penyokong di Kuala Lumpur bagi mendesak SPR dan kerajaan melakukan reformasi dalam pengendalian pilihan raya.
“Dengan ini kami mendesak kerajaan dan SPR lebih serius berusaha memastikan pilihanraya lebih bersih dan adil dapat terlaksana termasuk menggunakan dakwat kekal,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan