Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR,16 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen "Ramadhan Bulan Bersih" sebagai meneruskan momentum himpunan Bersih 2.0 yang telah berjaya diadakan 9 Julai lau.
Kempen itu sebagai usaha penerangan ke seluruh negara berhubung tuntutan ke arah sistem pilihan raya yang bersih dan adil, yang akan berlangsung sepanjang Ramadhan yang akan tiba bulan hadapan.
Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan, pihaknya akan memulakan siri jelajah ke setiap negeri sejurus bermulanya Ramadhan bagi memberikan penerangan mengenai Bersih 2.0.
Siri jelajah itu akan diteruskan dengan kempen balik kampung sempena Aidilfitri yang turut menjurus kepada penerangan mengenai Bersih 2.0.
"Pemuda PAS terdiri daripada jawatankuasa harian akan menjalankan roadshow ke seluruh negara Ramadhan ini bermula di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pulau Pinang dan seterusnya Perak.
"Manakala untuk negeri Pantai Timur, kami akan turun sempena sambutan Aidilfitri nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Katanya juga, Ramadhan dipilih untuk "Bulan Bersih" selaras dengan kemuliaan bulan itu yang menuntut manusia khususnya umat Islam membersihkan hati dan akhlak.
"Kempen kita merangkumi ceramah dan edaran pelbagai risalah mengenai Bersih agar semua maklumat sampai kepada rakyat," katanya.
Selain itu, DPP juga katanya tetap berpendirian bahawa segala rampasan barangan Bersih 2.0 adalah tidak sah dan menuntut segala barangan yang dirampas dikembalikan semula kepada pemiliknya.
Khidmat Guaman
Sementara itu, beliau mengecam tindakan membuang seorang pelajar sebuah universiti di Mesir, Firdaus Mazlan yang mengajurkan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.
Tegasnya, ruang demokrasi yang bebas harus juga diberikan kepada mahasiswa.
"Tindakan buang universiti suatu yang keterlaluan kerana pelajar ini hanya tinggal dua minggu lagi untuk menamatkan pelajaran," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan menyediakan khidmat guaman melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham).
"Pihak keluarga boleh menghubungi pengarah Juham untuk tindakan undang-undang dan sesiapa sahaja yang mengalami masalah boleh berbuat demikian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan