"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak-anak ‘BERSIH 2.0’

anakanda
Berkerut-kerut dahi anak sulung saya menatap berita saluran al-Jazeerah versi Inggeris. “Kenapa peserta ‘Bersih’ tidak melawan balik bila ditendang dan dipukul polis?” soalnya tidak puas hati dengan nada amarah. Reaksi spontannya jarang terpacul dalam bahasa melayu. “Tak boleh kakak, pihak penganjur dah pesan kita berjalan secara aman dan kita tak perlukan sebarang provokasi,” saya menjawab.

Dia masih tidak puas hati, “tapi itu hak manusia, kita perlu pertahankan diri bila dikasari tanpa sebab. Polis zalim, kenapa guna gas pemedih mata dan air berasid kepada rakyat Malaysia?”. Matanya berkaca melihat peserta ‘Bersih 2.0’ diperlakukan sewenangnya oleh manusia yang saya kira ‘kurang cerdik/tidak cerdik’. Saya sekadar tersenyum kelat, “jika kita melawan polis, mereka punya alasan untuk mengasari peserta ‘Bersih’ yang lain. Kesianlah kepada pakcik makcik warga tua, wanita dan kanak-kanak yang turut serta”. Sejak pagi Sabtu itu anak-anak kehairanan melihat saya, suami dan sahabat-sahabat tidak lekang membaca berita perkembangan terkini dari tanahair. “Ada perhimpunan penting di Malaysia hari ini untuk menuntut keadilan,” saya jelaskan. Mereka masih tidak dapat menghargai kenapa disuruh memakai baju kuning pagi itu dan berkumpul di rumah sahabat saya untuk berbincang perihal “Bersih’. Jumlah kami yang tak berapa kerat menjadikan himpunan kami tak semeriah di London, New York, Melbourne dan Dublin.



Cuma selepas tiba waktu petang, dengan lambakan imej dan video ‘Bersih 2.0’ disertai pula laporan al-Jazeerah, mereka mula faham peri pentingnya hari bersejarah ini buat tanahair tercinta.“Mungkin-mungkin beserta “Bersih” takut pada polis, itu sebabnya mereka tidak melawan” si abang mencelah. Saya geleng kepala. “Peserta “Bersih’ ialah mereka yang berani dan kuat. Ingat pesan Rasulullah, mereka yang kuat ialah mereka yang dapat mengawal diri dari amarah… walaupun polis bertindak ganas, mereka masih bersabar.” Si adik tiba-tiba bingkas bangun, “balik Malaysia nanti adik nak jadi polis, adik nak bunuh semua polis Malaysia yang jahat!,” jujur sekali kenyataan anak bongsuku yang berusia 7 tahun. Membesar di rantau ini, anak-anak diajar untuk tidak ragu menyatakan pendapat.


“Itu bukan cara yang betul, Rasulullah tak ajar kita untuk balas kejahatan dengan kejahatan. Adik jadilah polis, kemudian didik polis-polis Malaysia untuk jadi manusia baik dan taat kepada Allah.”“Kita kena balik dan ubah sistem di Malaysia,” bersemangat sekali si kakak, tangannya menitip rasa amarah dan ketidakpuasan hati di laman Facebook. Biar rakan-rakan English dan Irishnya turut sedar apa yang berlaku di benua Asia sana. Kekacawan yang menyesak jiwa dek perilaku manusia yang tidak bertamadun. “Untuk ubah sistem kita perlu jadi manusia yang cerdik, itu sebabnya ibu selalu suruh kakak membaca untuk pengetahuan.”


“Kita patut berbangga melihat berbagai kaum di Malaysia menyertai ‘Bersih’,” saya tunjukkan wajah melayu, cina dan india di paparan iPhone. Salah satu imej memperlihatkan gambar makcik berusia sebaya bonda saya, bertudung labuh turut diheret polis. “Lihat ni, macam mama kita.” Mereka semua terpaku, tak mampu bersuara seolah-olah melihat imej sebenar “mama” panggilan mereka kepada bonda. Untuk seketika mereka terdiam, sepi.. mungkin sebak. “Ini Aunty Anne, seorang guru yang hebat”, saya ceritakan kepada mereka apa yang saya baca berkaitan warga emas berbangsa cina berbaju kuning yang basah kuyup memegang bunga kekwa itu.


“Selepas ini kakak nak pakai baju kuning setiap hari Sabtu.” Belum sempat arahan dikeluarkan pihak penganjur si kakak telah membuat keputusannya sendiri.“Adik nak sertai ‘Bersih 3.0’, ” hebah si adik bersungguh-sungguh seolah-olah dapat membaca lintasan hati Pak Mat Sabu.“Abang tak mahu join perhimpunan, nanti polis Malaysia pukul abang,” luah si abang perlahan. “Kakak baru sahaja baca perihal peperangan Uhud dalam surah Ali-Imran, Allah kata kalau tiba ajal seseorang tak kiralah samada dia keluar berperang atau duduk di rumah dia tetap akan mati,” ujar saya untuk meniup semangat ke dalam hatinya. Saya tidak mahu anak-anak saya menjadi manusia pengecut untuk turun ke medan jihad. Rugilah kita kalau mati tanpa ada keinginan untuk syahid. “Lebih mulia matinya seorang yang sedang berjuang untuk keadilan seperti as-syahid pakcik Baharuddin Ahmad dari mati disebabkan oleh penyakit.”“Bukan abang takut,” jawabnya perlahan.


“kalau ibu, ayah, kakak, abang dan adik  sertai ‘Bersih 3.0’, apa-apa  berlaku pada kita siapa akan jaga mama. Abang tak mahu polis Malaysia pukul mama, itu sebabnya abang kena jaga mama,” hampir mengalir air mata saya. Teringat bonda di tanahair. Hampir sedekat merantau di bumi penjajah ini, mengutip ilmu yang tercicir dari ummat, saya bertekad kuat untuk pulang ke tanahair. Ya Allah.. bukalah jalan untuk kami, menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan akhirat dan peliharalah tanahair kami yang tercinta dari tangan-tangan durjana.

Tiada ulasan: