"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Keajaiban terakhir’ yang diharapkan Najib

ZULKIFLI YAHAYA

Tarikh 22 Februari seperti yang dihebahkan kononnya berlaku pembubaran Parlimen berlalu begitu sahaja. Kini muncul pula spekulasi baru oleh Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad yang membayangkan PRU13 berlaku selepas LIMA di Langkawi.

Hujahnya agak kuat, kerana persiapan untuk LIMA sudah berlangsung selama dua tahun di samping Najib adalah bekas Menteri Pertahanan yang sudah sinonim dengan penganjuran LIMA.
Betul juga, takkanlah Perdana Menteri nak lepaskan penganjuran LIMA begitu sahaja dalam keadaan tidak pasti sama ada beliau masih Perdana Menteri atau tidak, sewaktu program besar itu dirasmikan.

Dari mulutnya sendiri, beliau mahu biar semua orang merasa ‘letih’ dalam membuat persiapan menghadapi PRU13. Kenyataan itu semacam PRU tidak diadakan dalam masa terdekat, walaupun tempoh yang berbaki hampir rapat ke garisan penamat.

Semua yang sepatutnya dibuat oleh seorang Pengerusi BN dalam mempertahankan kerajaan Pusat sudah disempurnakan. Semua golongan masyarakat telah disantuni, malah ada yang diulang berkali-kali seperti golongan muda dan Felda. Ganjaran dilaburkan untuk ‘merasuah’ rakyat kali ini adalah yang terbesar sejak pilihanraya umum diadakan di negara ini. Isu untuk menyerang pembangkang pula sudah terlalu lumayan digunakan, dari sebesar perkara hinggalah sekecil-kecil perkara. Isu seremeh dakwaan Tok Guru Nik Aziz yang mendakwa, BN buat rakyat umpama haiwan pun diputarbelit menjadi ‘Nik Aziz dakwa rakyat haiwan’. Keganasan sudah, ancaman sudah, pujuk rayu pun sudah. Anehnya semua itu tidak mampu untuk melonjakkan sokongan terhadap BN, sehingga Najib tidak jumpa tarikh pembubaran Parlimen. Dalam tempoh yang berbaki ini, keajaiban terakhir yang diharapkan beliau cuma satu – Pakatan Rakyat berpecah! Hanya dengan perpecahan antara parti komponen pakatan maka BN akan selesa mempertahankan kuasa.

Usaha meretakkan Pakatan dibuat dalam tempoh yang agak panjang, bermula selepas Pakatan berjaya membentuk kerajaan di lima buah negeri. Antara KeADILan, DAP dan PAS, cabaran yang paling kuat dihadapkan oleh BN ialah PAS. PAS sudah sinonim dengan perjuangan Islam, justeru segala elemen yang bertentangan dengan Islam menjadi sensitif kepada PAS. Maka elemen itulah yang dijadikan peluru perang saraf dalam usaha untuk melemahkan daya juang ahli-ahli PAS. Isu moral pemimpin Pakatan bukan PAS, arak, pusat hiburan, LGBT, pluralisme, liberalisme, matlamat negara Islam, hudud dan terkini – kalimah Allah, digunakan habis-habisan agar PAS meninggalkan Pakatan namun tetap tidak berhasil. Pemimpin tidak berprinsip yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam PAS digunakan. Bekas pengikut bawahan yang jahil kini berpaling tadah, juga dinaiktaraf dan digunakan sebaiknya untuk menyerang PAS, nampaknya tidak juga berkesan.

Memberi imej buruk DAP terhadap Islam serta segala ‘bukti-bukti’ mengenainya dibuat oleh jentera propaganda BN dengan penuh istiqomah, gagal juga. Maka usaha terdesak BN dengan memperalatkan ulamak upahan ialah dengan mengeluarkan fatwa bahawa haram mengundi PAS kerana DAP. Empat dekad PAS diserang kerana kononnya mengaitkan politik dengan hukum agama, kini Umno menjilat kahak apabila mereka sebenarnya yang mengeluar hukum halal haram mengikut paradigma politik. Apa pun ia masih tidak berkesan.

BN tidak pernah mengenal putus asa, meskipun harapan untuk memecahkan antara parti komponen Pakatan menjadi semakin tipis. Mereka berusaha lagi terus ke dalam parti komponen utama pula, iaitulah PAS.

Di Kedah, BN mengeksploit isu perbezaan pandangan antara pemimpin PAS untuk dinaiktaraf menjadi isu besar. Isu asalnya hanya berbeza pendapat segelintir ahli di akar umbi terhadap isu tempatan, lalu ia diubah dan digubah menjadi penentangan terhadap kepimpinan Ustaz Azizan Razak.

Beliau kononnya didesak melepaskan jawatan oleh ahli-ahli PAS Kedah. Saya tidak mahu mempertikaikan hujah mengapa Azizan mesti melepas jawatan oleh orang yang segelintir itu, tetapi melihat kepada waktu, suasana dan cara bertindak – jelas ia bukan budaya orang PAS. Ahli PAS ada tarbiyah, tidak melepas geram dengan mencanang ke seluruh dunia masalah dalaman, mereka bertindak mengikut saluran. Mereka tahu bahawa keutamaan terkini ialah menghadapi dan memenangi PRU. Maka jelas apa yang berlaku di Kedah itu agenda UMNO. Kepada yang tersasul patut kembali ke pangkal jalan.

Di pusat, BN mengatur agenda yang serupa. Mereka cuba menghilangkan kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di kalangan anggota PAS, lalu mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai alternatif. Percubaan Umno untuk memecahkan PAS dalam dalam itu sungguh menjolok mata. Di Kedah atau di Pusat, bukan masanya untuk PAS memikirkan semua sekarang ini. Sekarang ialah masa untuk mengalahkan BN dalam PRU. Itu keutamaannya.

Syaitan tidak pernah putus asa untuk menghasut dan menyesatkan manusia. Umno pun sentiasa istqomah untuk memecahbelahkan Pakatan dan PAS kerana itu saja caranya Umno mampu pertahan kuasa. Keajaiban terakhir itulah yang diharapkan Najib untuk berlaku, sehingga dia melambat-lambatkan pembubaran Parlimen.

Ikuti perkembangan politik di negeri negeri utara di laman

Tiada ulasan: