"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puas hati dengan Khalid Ibrahim

Burung Punggok
Sebagai warga negeri Selangor yang mengenal menteri besarnya hanya dari media massa, sama ada secara bercetak mahupun atas talian, penulis ini berasa puas hati dengan prestasi Tan Sri Khalid Ibrahim selaku ketua kerajaan Shah Alam.

Sememangnya secara rasmi tidak ada istilah warga negeri, yang ada hanyalah warga negara Malaysia. Sebagai negara yang mengamalkan sistem persekutuan, tidak timbullah konsep warga negeri. Kalau negara yang mengamalkan konsep konfederasi atau gabungan persekutuan, maka wujudlah kedua-dua istilah warga negeri dan warga negara.

Namun sebagai konsep tidak rasmi, istilah warga negeri. Maka warga negeri merujuk kepada di mana seseorang memilih kerajaan negerinya. Maka oleh kerana penulis ini mengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor, maka jelaslah kedudukan kewarganegeriannya.

Penulis ini menjadi warga negeri Selangor sejak 1999 apabila pertama kali mengundi di kawasan pilihan raya DUN Gombak Setia. Sebagai pendokong parti pembangkang sejak boleh mengundi, maka tentulah sokongan diberikan kepada PAS yang bertanding di Gombak Setia pada tahun 1999, 2004 dan 2008.

Pada pilihan raya tahun 2008, undi diberikan kepada Hassan Ali yang menjadi calon PAS di situ. Pada masa itu tidak ada lagi Pakatan Rakyat. Yang ada hanyalah Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

Walaupun mengharapkan kemenangan BA di Gombak Setia, tetapi menjelang pilihan raya 2008, penulis tidaklah menjangkakan kerajaan negeri dapat dimenangi oleh Keadilan-DAP-PAS, jauh sekali membayangkan Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar.

Namun begitu, Khalid telah lama terkenal sebagai ahli korporat Melayu yang berjaya dan banyak berjasa. Pendapat-pendapat bernas beliau sering tersiar dalam ruangan soal jawab Radio Malaysia mengenai ekonomi dan perniagaan.

Beliau juga cuba menyertai politik melalui bahagian Umno tetapi ditolak oleh akar umbi. Pernah pada satu masa beliau membiayai sebuah majalah bernama Detik yang dipimpin oleh Allahyarham Samsuri Roslan.

Setelah ditolak Umno, beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat dan pertama kali bertanding di Ijok dalam pilihan raya kecil. Sebagai pendokong pembangkang mengharapkan kemenangan beliau tetapi malangnya Khalid kalah.

Tetapi penyertaannya dalam pilihan raya umum di kerusi DUN pada tahun 2008 membuka peluang kepada beliau menjadi Menteri Besar. Namun pada masa itu, tidak ada sesiapa yang menjangka beliau benar-benar akan menerajui negeri Selangor.

Sememangnya ketika penulis mengundi untuk Hasan Ali di ADUN Gombak Setia, adalah diharapkan parti-parti pembangkang akan menang. Tetapi ia hanyalah harapan bukanlah jangkaan.

Namun apabila Khalid benar-benar berjaya menerajui kerajaan negeri, maka kebanggaan dapat dirasakan sebagai warga negeri Selangor kerana memiliki seorang tokoh seperti beliau.

Khalid mempunyai ketokohan mengatasi menteri-menteri besar Selangor yang penulis ingat, dari Harun Idris, Razali Ali, Muhamad Taib, Abu Hasan Omar hinggalah Khir Toyo.

Sememangnya Harun Idris mempunyai ketokohan tersendiri hingga beliau pernah berada pada kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri dengan kedudukan tertinggi dalam Umno pernah beliau tercapai iaitu sebagai naib presiden.

Sumbangannya juga besar dengan membuka banyak kawasan-kawasan untuk orang Melayu di Selangor. Selain itu, kegiatan politiknya menyokong Tengku Razaleigh Hamzah dan menentang Mahathir Mohamad melalui Semangat 46 adalah juga dihargai. Ini bermakna dia pernah bersekutu dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah.

Begitu juga Muhammad Taib yang mencorakkan Selangor dalam kemajuan negara dengan gagasan Melayu Baru. Dalam Umno, beliau pernah berada dalam Pasukan Wawasan pimpinan Anwar Ibrahim yang meletakkan beliau sebagai Naib Presiden Umno.

Tetapi sejarah telah menunjukkan bagaimana kerjaya politik Harun Idris dan Muhammad Taib. Peristiwa-peristiwa seperti Tragedi 13 Mei, Bank Rakyat dan kaitannya dengan perlawanan tinju Muhammad Ali dan Joe Bugner. Begitu juga peristiwa wang tunai di Australia dan lain-lain isu berhubung pemimpin Umno Selangor. Inilah cara berpolitik Umno dan tentu ia tidak dapat diterima oleh rakyat yang merasakan mereka wajar memperoleh kepimpinan lebih baik.

Khalid yang walaupun pernah bergiat dalam Umno berusaha membawa cara baru kepada politik dan pentadbiran Selangor. Sesuatu yang segar dan bersih tetapi lebih penting lagi adalah ia membawa nilai-nilai Pakatan Rakyat seperti mana diperjuangkan oleh Keadilan, DAP dan PAS.

Beliau tidak mungkin dapat melaksanakan cara baru pentadbiran itu jika menjadi Menteri Besar Barisan Nasional. Tradisi Umno akan menyukarkan seorang Menteri Besar Barisan Nasional untuk memperkenalkan perubahan dari segi pembersihan pemerintahan.

Seorang pemimpin Barisan Nasional mempunyai banyak perkara untuk diambil kira, daripada bahagian-bahagian Umno hinggalah kepimpinan parti peringkat pusat.

Ini tidak bermakna seorang pemimpin Pakatan Rakyat bebas sepenuhnya. Tentulah seorang Menteri Besar Pakatan Rakyat terpaksa melayan karenah parti-parti anggota, apatah lagi dengan pemimpin pusat Pakatan Rakyat.

Tetapi seorang Menteri Besar Pakatan Rakyat mempunyai peluang besar mencorakkan semula cara negeri dipimpin. Inilah apa yang berjaya dilakukan oleh Khalid walaupun dikritik oleh sebahagian daripada ahli partinya sendiri.

Barisan Nasional mempunyai tradisi tersendiri yang telah berkembang kepada suatu kerangka di mana sebarang perubahan baru akan tertakluk kepada bingkai-bingkai lama membaku.

Sedangkan PR masih mempunyai ruang lepas yang boleh dicorakkan dengan nilai-nilai baru. Walaupun dalam melakukan pelbagai kesilapan, tetapi komitmennya untuk mewujudkan pentadbiran bersih dan untuk rakyat jelas cuba diusahakan.

Selain itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid telah sentiasa bergerak secara berhati-hati kerana ia sentiasa dipantau dan dikritik dari dalam dan luar.

Dari dalam parti Keadilan sendiri, Khalid sentiasa dikritik oleh mereka yang tidak puas hati dengan cara politik beliau. Inilah cabaran yang beliau terpaksa hadapi.

Sementara dalan Pakatan Rakyat sendiri, beliau pasti berhadapan dengan karenah DAP dan PAS yang pelbagai. Tetapi semua cabaran itu adalah suatu yang lumrah.

Namun, paling lumrah ialah sifat pembangkang Barisan Nasional terhadap kerajaan negeri yang menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling telus kerana perlu sentiasa bersedia menjawab isu.

Lebih-lebih lagi Barisan Nasional menguasai kerajaan persekutuan yang mampu menyusahkan negeri Selangor dalam melaksanakan rancangan-rancangannya.

Keadaan Khalid dan kerajaan negeri Selangor ditekan bukan atas sebab isu-isu tulen tetapi kerana politik kepartian menunjukkan pentingnya beliau terus disokong supaya negeri ini tidak kembali pada keadaan dulu.

Tiada ulasan: