"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DAP tak pernah, tak akan persoal Islam sebagai agama rasmi - Anthony Loke jawab Dr Mahathir

Malaysiakini

Menteri Pengangkutan Anthony Loke membidas Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan bekas perdana menteri itu bahawa tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa menuruti "manifesto DAP" untuk menjadikan negara ini berbilang kaum dan tanpa agama rasmi kerana parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai 40 kerusi parlimen.

Setiausaha Agung DAP itu menyifatkan kenyataan Mahathir sebagai tidak berasas dan menegaskan bahawa semua ahli parlimen DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

"DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun (Mahathir) kononnya DAP akan mengugut perdana menteri.

"Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 ahli parlimen DAP?

"Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?" soal Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri pengangkutan itu juga berkata sejak negara mencapai kemerdekaaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman.

Dia turut mengungkit visi Mahathir untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020.

"Mengapa hari ini beliau (Mahathir) sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?

"DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum. Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman turut mengulas kenyataan Mahathir dengan mengingatkannya bahawa kemerdekaan Malaysia dicapai melalui perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Sabah dan Sarawak bergabung sebagai rakan kongsi yang sama, menunjukkan komitmen kita terhadap keterangkuman.

"Hari ini, rakyat Malaysia mengutamakan identiti nasional bersama mereka daripada mana-mana etnik atau tanah air nenek moyang.

“Rakyat Malaysia yang lahir hari ini bangga dipanggil rakyat Malaysia, bukan India atau Cina. Kesetiaan kami terletak pada Malaysia, bukti kekuatan kami dalam perpaduan,” katanya.

Tiada ulasan: