N Faizal Ghazali
Sama ada namanya diangkat sebagai calon atau sebaliknya dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, bekas ahli parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan dia akan kekal istiqamah bersama PAS.
Malah anak kepada bekas Musyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menegaskan bahawa menjadi calon sama sekali buka legasi perjuangan ayahnya.
“Saya serah pada pimpinan. Yang penting saya kekal istiqamah, dan akan bersama jentera PAS dalam kempen PRN nanti.
“Mesti saya terima (keputusan parti), saya ahli biasa PAS hari ini patuh pada keputusan pimpinan insya-Allah,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri ceramah mega ‘Ppakat Pertahan Kelantan’ di Bachok, malam tadi.
Nik Abduh sebelum ini menjadi wakil rakyat PAS selama dua penggal bagi parlimen Pasir Mas dan Bachok.
Bagaimanapun dia tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
Terdahulu Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika ditanya sama ada Nik Abduh akan dinamakan sebagai calon dalam PRN Kelantan bagaimanapun menyatakan perkara itu akan diketahui pada hari penamaan calon.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.
Sementara itu ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan wujud usaha menghapuskan legasi ayahnya sekiranya dia sekali lagi tidak dicalonkan, Nik Abduh sama sekali menolak tanggapan itu.
Katanya, legasi tok guru bukan menjadi calon tetapi memperjuangkan Islam.
“Legasi tok guru bukan menjadi calon, legasi tok guru adalah memperjuangan Islam dan mempertahankan kerajaan negeri Kelantan.
“Itu legasi tok guru, menjadi calon bukan legasi tok guru,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan