Irwan Shafrizan Ismail
am@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sudah menyerahkan secara terus nama seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Kata Saifuddin Nasution, pegawai terbabit dikenal pasti selepas beliau menerima aduan yang dibuat secara terus kepadanya.
"Kita kenal pegawai yang terbabit dan saya dihubungi terus pengadu berkaitan tindakan pegawai itu yang meminta sejumlah wang yang besar bagi memperoleh dokumen yang sudah diluluskan itu.
"Saya beri nama pegawai itu kepada SPRM hari ini, saya juga sudah hubungi Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), jadi kita serahkan kepada suruhanjaya itu untuk melakukan siasatan lanjut," katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah serta salah guna kuasa.
Beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.
Susulan kenyataan Perdana Menteri, JPN memaklumkan komited menangani rasuah dalam jabatannya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri.
Selain itu, Saifuddin berkata, sebarang urusan di JPN sama ada kelulusan bagi sijil warganegara atau kelahiran tidak memerlukan sebarang bayaran.
"Di JPN ada jawatankuasa yang membuat pertimbangan berdasarkan undang-undang dan pekeliling, pengesahan kesahihan dokumen, jadi mereka akan syorkan permohonan lulus atau tidak.
"Pemohon juga akan dimaklumkan permohonan mereka lulus, bermaksud mereka hanya perlu datang ambil dokumen, kalau ada pegawai yang menghubungi untuk minta bayaran, abaikan sebab itu bukan amalan dalam tata kelola kerajaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan