"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Mimpi ngeri' Salahuddin Ayub

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif Payung Rahmah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengurangkan beban rakyat terus mendapat sambutan dengan penyertaan Jaya Grocer bersama Grab Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kehadiran jenama besar itu sekali gus memusnahkan 'mimpi ngeri' beliau terhadap inisiatif dilaksanakan berkenaan akan berakhir.

"Saya tidak menyangka ada lagi syarikat mahu dan terus memberi sokongan kepada usaha KPDN memandangkan inisiatif Payung Rahmah ini tidak memberi apa-apa geran dan peruntukan khusus kepada mana-mana pihak yang menyertai.

"Perkara ini sekali gus mendorong KPDN untuk bekerja dengan lebih kuat dan terus menyantuni masyarakat dalam setiap segmen di bawah Inisiatif Payung Rahmah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, menerusi kerjasama itu, Jaya Grocer dan Grab Malaysia akan menawarkan promosi eksklusif melalui tiga inisiatif di platform Grab.

"Ia meliputi Pakej Rahmah iaitu tawaran pakej 'mix & match' dari serendah RM18 serta GrabFood Jualan Rahmah iaitu diskaun sehingga 40 peratus untuk barangan keperluan harian dan eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.

"Selain itu, terdapat juga pemberian Bakul Rahmah secara berkala bagi menyokong pemandu orang kurang upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer dan Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, penyertaan pihaknya dalam Inisiatif Payung Rahmah bagi membantu mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Isu peningkatan kos sara hidup memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia. Usaha menanganinya memerlukan penelitian pelbagai aspek.

"Ia boleh dilakukan dengan mengurangkan harga barangan, memudahkan akses kepada ekonomi digital bagi mewujudkan penjimatan jangka masa panjang," katanya.

Tiada ulasan: