"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dipancing panggilan video dengan aksi lucah akhirnya terjebak

‘Yaya’ peras mekanik RM200,000 selepas rakam aksi tak senonoh
Seorang mekanik kerugian RM200,000 selepas diugut kenalan media sosial.

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang mekanik diperas RM200,000 oleh seorang kenalan di media sosial bernama “Yaya”, yang mengugut akan menyebarkan video aksi tidak senonohnya, menurut polis.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu dikenali sehingga boleh mempengaruhi untuk melakukan perkara di luar dugaan.

Polis menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun kira-kira 1.49 tengah hari semalam.

“Kes disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” kata Yusri dalam kenyataan.

Menurut polis, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan video daripada seorang perempuan yang “ingin menunjukkan sesuatu yang istimewa”.

“Setelah menerima panggilan tersebut, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan berbogel dan melakukan aksi ghairah…mangsa yang terpengaruh dengan aksi tersebut turut sama berbogel dan melakukan perkara yang tidak senonoh bersama suspek.”

Mangsa hanya mengetahui aksinya dirakam suspek apabila menerima rakaman daripada suspek selepas menamatkan panggilan.

“Mangsa diugut supaya memberikan wang kepada suspek dan mangsa kemudian melakukan pemindahan wang sebanyak 38 kali secara perbankan dalam talian ke lima akaun pemilik berbeza,” kata Yusri.

Yusri meminta orang ramai berhati-hati di media sosial supaya tidak menjadi mangsa jenayah pemerasan.

Tiada ulasan: