"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH-BN belum bincang lantik Ku Li pengarah pilihan raya Kelantan

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung cadangan melantik veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya bagi menghadapi PRN 12 Ogos ini.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husin, berkata kenyataan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang Ku Li setuju dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN-PH di Kelantan mungkin sekadar pandangan peribadinya.

“Pada peringkat PH-BN belum bincang. Mungkin itu pandangan peribadi beliau.

“Apa-apa keputusan akhir akan dibincangkan BN-PH Kelantan sekiranya perkara itu diangkat nanti,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, soal pelantikan Ku Li sebagai pengarah pilihan raya juga tidak dibincangkan pada peringkat PH dan Amanah Kelantan.

Katanya, PH menyerahkan kepada BN untuk melantik Ku Li memandangkan gabungan itu diberi amanah mengetuai kempen PRN di Kelantan.

“Kita serah pada BN, apa-apa cadangan mereka nanti, sekiranya mahu lantik Ku Li, kerana BN akan mengetuai kempen di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Kelantan turut mengakui pelantikan tersebut tidak pernah dibincangkan setakat ini.

“Pengerusi perhubungan negeri belum maklum apa-apa, kita tengok dalam mesyuarat terdekat nanti macam mana,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ku Li setuju dilantik sebagai pengarah pilihan raya memimpin gabungan BN-PH Kelantan bagi menghadapi PRN.

Perkara itu dimaklumkan Wan Abdul Rahim hasil pertemuannya dengan Ku Li sebelum ini.

Tiada ulasan: